Halaman

01 February 2013

Titian Kasih mampu kurang masalah displin

Oleh: Suriati Ali

Program Titian Kasih atau 'berbulan madu' pelajar bersama ibu bapa yang dimulakan sejak tahun 2010 akan diteruskan berikutan mampu mengurangkan masalah disiplin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia salah satu pendekatan yang ternyata berkesan bagi membentuk keperibadian pelajar dan menjadi lebih fokus kepada pelajaran.

''Melalui program ini, pelajar bersama ibu bapa mereka menginap di hotel terpilih selama tiga hari dua malam untuk mengikuti program yang diatur. Sejak program ini dimulakan, peratusan buang sekolah berkurangan dan masalah disiplin dapat diatasi secara bijaksana.

 "Program berbentuk seperti bulan madu ini membolehkan pelajar dan ibu bapa meluangkan masa bersama dalam suasana baru dan turut merapatkan hubungan mereka," katanya.

Dato’ Ahmad Razif, berkata melalui konsep itu, ibu bapa akan tahu masalah sebenar anak-anak mereka dan dapat bersama membantu mencari kaedah terbaik agar anak-anak dapat mencorak masa depan yang baik.

"Selepas mengikuti program ini kebanyakan pelajar menunjukkan tanda perubahan yang positif dan secara tidak langsung ia membantu menangani tekanan terhadap guru dalam menangani masalah mereka di sekolah.

“Pada tahun ini, antara 1,000 hingga 1,500 pelajar dan ibu bapa terpilih akan menyertai program tersebut yang akan diadakan dalam masa terdekat di Saujana, Setiu,” katanya.