Halaman

01 February 2013

Penceramah UMNO perlu berani tangkis isu

Oleh:  Mohammad Ishak 


Dr Fathul bersama penceramah UMNO DUN Jertih

Umat Islam diingatkan jangan menyamakan amanat Nabi Muhammad SAW dengan amanat yang dikeluarkan oleh Presiden Pas,Datuk Seri Abd Hadi Awang kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU), Dr Fathul Bari Mat Jaya berkata, ramai umat Islam kini terpesong dengan amanat yang dikeluarkan oleh pemimpin parti politik menyebabkan berlaku perpecahan dikalangan umat Islam.

Katanya, masyarakat Islam juga jangan mudah terpengaruh dengan tafsiran al Quran dan Hadis oleh pihak tertentu kerana ada pihak cuba mempermaikan perkara berkenaan untuk kepentingan politik.

Menurutnya, apa yang berlaku sekarang umat Islam mudah percaya dengan individu yang meleberkan mereka sebagai ustaz, tok guru dan ulama tetapi pada masa sama mereka menggunakan al Quran untuk politik.

“Amanat Hadi hanyalah ciptaan parti politik untuk meraih umat Islam menyokong perjuangan parti tetapi amanat Nabi besar Muhammad adalah untuk kesejahteraan seluruh umat Islam,” katanya pada majlis sembang-sembang dengan pemimpin UMNO DUN Jertih di sini malam tadi.

Pada majlis itu Dr Fathul turut menyampaikan sijil pentauliahan kepada 100 penceramah dari DUN Jertih yang dilantik UMNO Bahagian Besut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13).

Dr Fathul berkata, disebabkan cetek dengan pengetahuan Islam ramai yang percaya dan terpengaruh dengan amanat Haji Hadi sehingga masyarat Islam menjadi keliru dan sanggup mengkafirkan sesama Islam.

Beliau berkata, penceramah UMNO hendaklah berani menangkis isu yang dibangkitkan pembangkan terutama penyebaran fitnah terhadap pemimpin kerajaan yang dijangka menjadi strategi utama pembangkang.