Halaman

29 January 2013

Cikgu Zainon bongkar perjanjian rahsia

PENDEDAHAN...Cikgu Zainon atau lebih dikenali sebagai C.N Al-Afghani menunjukkan buku tulisannya, Kafirkah Aku? membongkar dan meminta supaya Haji Hadi menarik balik amanatnya yang nyata memesongkan umat Islam di negara ini.
Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Seorang bekas ahli Pas seumur hidup yang dikenali sebagai Cikgu Zainon Ismail (C.N Al-Afghani) mendakwa parti itu pernah menandatangani perjanjian rahsia antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengugurkan terus perjuangan berkaitan hukum hudud dan negara Islam di Malaysia.

 Katanya, dia berani mengeluarkan kenyataan kerana ada bukti jelas dan fakta di mana perjanjian itu pernah ditangani bersama pemimpin-pemimpin tertinggi ketiga-ketiga parti pada 18 Disember 2009.

“Pemimpin parti yang terlibat dalam perjanjian itu adalah Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim.


“Di antara kandungan perjanjian itu adalah sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, pemerintahan itu tidak akan menyentuh hukum hudud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dilema dan Ranjau Islam Di Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada iman, bila dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa). Cikgu Zainon pernah meletakkan jawatan sebagai guru sekolah rendah semata-mata taksub kepada Amanat Haji Hadi selain mahu membantu perjuangan Pas.


Beliau pernah berjuang bersama mujahidin di bumi Afghanistan sekitar 1988. Merupakan ahli Pas seumur hidup dan pernah menjadi exco Dewan Pemuda Pas Kedah bermula 1991 hingga 1997.

 Sangat taksub dengan Amanat Haji Hadi sehingga sanggup kafirkan saudara kandung sendiri. Cikgu Zainon turut memberitahu dia tidak akan berdiam diri dalam membongkarkan kepincangan politik Pas biarpun pernah diugut dan kehilangan kawan.


Sebaliknya, beliau yang menghasilkan buku Kafirkah Aku? berikrar akan terus berjuang bagi mempastikan Dato' Seri Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi yang mengambarkan Umno kafir pada 1981.

 Beliau menegaskan, Haji Hadi perlu sedar, kesan perpecahan akibat amanat itu cukup besar seperti terjadinya peristiwa Memali, solat dua imam, bercerai-berai dan macam-macam lagi.