Halaman

28 January 2013

Manfaat bantuan persekolahan untuk anak-anak

Oleh: Noraini Jusoh

Kebajikan rakyat di setiap peringkat menjadi perhatian utama kerajaan termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata kerajaan sentiasa cakna dengan kebajikan rakyat terutama yang berkaitan dengan bidang pendidikan.

"Pelbagai bantuan disalurkan untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

"Diharap Bantuan Khas Awal Persekolahan yang diberikan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, hari ini.

Seramai 479 murid sekolah tersebut menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 yang diserahkan kepada ibu atau bapa masing-masing.

Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng merupakan sekolah yang keenam menerima kehadiran Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir bagi menyempurnakan majlis penyerahan bantuan terbabit bagi DUN Seberang Takir.

Sebelum ini, beliau telah menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Awal Khas Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Kebangsaaan Kompleks Seberang Takir.