Halaman

31 January 2013

KISAH SAMBUT HARI JADI DI USIA 82 DAN PEMECATAN USTAZ NASA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 


Sudah sampai masanya ahli dan pengikut Pas mengkaji balik sokongan mereka kepada parti itu, terutama menjelang Pilianraya Umum ke 13 (PRU 13).

Ini kerana perjuangan parti itu tidak lagi berpegang kepada asas awalnya untuk kepentingan Islam malah tindak-tanduk pemimpin mereka jelas menunjukkan kepentingan politik pilihanraya mengatasi agama Islam Yang Maha Suci.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman amat yakin bahawa ramai di kalangan penyokong Pas sendiri terkejut dan tidak senang dengan beberapa perkembangan yang berlaku di dalam Pas sekarang.

Antaranya termasuklah pemecatan cendikiawan Islam yang juga bekas Timbalan Presiden Pas, YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa dari keanggotaan Majlis Syura Ulama Pas.

Seorang yang berakhlak mulia dan tidak mempunyai skandal sepertimana sesetengah yang lain tetapi dipinggirkan. Ustaz Nasharudin Mat Isa pernah menjadi Ahli Parlimen Yan (1999-2004) dan Bachok, Kelantan (2008-kini) .

Beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011) tapi tewas kepada Mohamad Sabu pada 2011. Beliau tewas di Besut di tangan Abdullah Md Zin dalam pilihan raya 2004.

Ustaz Nasharuddin dilihat berusaha menggabung parti UMNO dan PAS membentuk kerajaan perpaduan. Beliau dilihat sebagai ulama profesional, bukan ulama konservatif. Nasharudin Mat Isa dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan pada 1962.

Belajar 3 semester di UITM dalam jurusan Grafik dan Senireka. Kemudian mendalami pengajian Islam di Kolej Darul Ulum di Lucknow, India. Kemudian belajar bahasa Arab di Universiti Jordan , Amman selama dua tahun.

Seterusnya beliau mendalami undang-undang Syariah di Fakulti Syariah selama 5 tahun. Dilantik menjadi pembantu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak.

Kemudian belajar selama dua tahun di Universiti Glasgow, Scotland. 1993 kembali ke UIAM dan menyiapkan Sarjana Undang-Undang .

Dilantik menjadi pensyarah undang-undang di situ, 1997, Nasharudin menjadi pensyarah undang-undang di UKM, Bangi. 1999 bersara sebagai ahli akademik kerana menceburi bidang politik sepenuh masa. Nasharudin menyertai PAS ketika belajar di Jordan.

Beliau aktif dalam Dewan Pemuda PAS dan menjadi exco antarabangsa. Dalam pemilihan pemuda PAS, beliau mendapat undi tertinggi. Mantan Presiden PAS,Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor melantik Nasharudin sebagai Setiausaha Agung PAS.

Pelantikan beliau secara tiba-tiba mengejutkan ramai pihak.

Ketika itu beliau baru berhenti dari menjadi pensyarah undang-undang syariah UKM. Justeru itu peminggiran orang harapan Allahyarham Datuk Fadzil Noor ini mengecewakan kalangan ahli dan pendokong Pas yang mahu melihat golongan ulamak mewarisi kepimpinan Pas.

Peristiwa terbaru yang tidak disenangi kalangan ahli dan pendokong Pas yang kental dengan asas perjuangan asal ialah kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz ke rumah Karpal untuk menyambut harijadinya juga suatu kejadian yang sungguh memeranjatkan.

Tindak-tanduk pemimpin Pas akhir-akhir ini jelas menunjukkan mereka berbuat apa sahaja untuk kepentingan politik .

Kehadiran Mursyidul Am Pas dalam sambutan hari jadinya yang ke-82 di kediaman Pengerusi DAP, Karpal Singh dilihat sebagai satu sindiran tajam kepada Dewan Ulama Pas berkenaan isu penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam.

Ini kerana sebelum ini Karpal merupakan individu yang lantang meminta dikaji semula keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang tidak membenarkan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

Nik Aziz bersama Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini merupakan antara dua individu terawal yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah namun kemudiannya Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan sebaliknya.

Tindakan Nik Aziz berjumpa dan bergembira bersama dengan individu yang menentang keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu dipersoalkan oleh banyak pihak, Nik Aziz tiba di kediaman Karpal kira-kira jam 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit di kawasan yang meriah dengan sambutan Thaipusam di Jalan Scotland.

Dalam kunjungan itu, Nik Aziz turut memotong kek yang disediakan Karpal sebagai tanda ulang tahun kelahirannya ke-82, sambil disaksikan pemimpin DAP, Pas dan PKR.

Karpal yang gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata, beliau terkejut kerana pemimpin Pas itu tiba 30 minit lebih awal.

Demikian Pas kian tersasar jauh.