Halaman

02 February 2013

Belajar agama dari guru bertauliah

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Ibu bapa dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak yang belajar agama bersama-sama rakan sebaya bagi memastikan mereka berguru dengan guru agama bertauliah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata langkah itu penting bagi memastikan pemikiran anak-anak tidak diracuni dengan pelbagai anasir tidak sihat dari guru agama tidak bertauliah.

Beliau berkata, tidak semua remaja masa kini gemar dengan aktiviti sosial dan budaya tidak sihat seperti rempit dan lepak di kawasan tumpuan orang ramai.

“Sekarang sudah menjadi trend ada anak-anak muda yang gemar mendengar ceramah agama dan hadir pada majlis-majlis ilmu bersama-sama rakan mereka.

“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendengar ceramah daripada guru agama yang bertauliah supaya mereka mendapat ilmu yang baik dan selaras dengan ajaran Islam,” katanya.

Katanya, ibu bapa perlu menyelidik latar belakang guru yang mengajar anak-anak mereka bagi mengelakkan mereka hadir di majlis yang menggunakan platform agama bagi menghasut pelajar supaya membenci pemimpin dan kerajaan yang memerintah.