Halaman

30 January 2013

Veteran tentera dicari

Oleh; Esah Abdullah

 Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTB) Cawangan Terengganu mengesa bekas tentera yang masih belum mendaftar dengan persatuan agar dapat berbuat demikian dengan kadar segera.

Yang Dipertuanya, Encik Alias Ab Razak berkata, sehingga kini hanya 1,500 tentera tak berpencen di seluruh negeri mendaftar sebagai ahli dan usaha sedang giat dilaksanakan untuk mengesan mereka.

“Kita menganggarkan kira-kira 10,000 bekas tentera belum lagi mendaftar sejak ia ditubuhkan pada Julai tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Sumai Hotel semalam. Hadir sama Timbalannya Encik Sharif Yasin dan Pengerusi Koperasi PVTB negeri, Encik Mohd Zaki Mohd Ali. .

Katanya, daripada jumlah itu seramai 1,200 orang dari daerah Kuala Terengganu dan bakinya membabitkan lain-lain daerah. ``Penyertaan mereka dalam berpersatuan penting bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan di samping dapat mengumpul kembali melalui pelbagai aktiviti yang akan dijalankan,’’ katanya.

Menurutnya, aktiviti pertama pada tahun ini penyampaian bantuan one-off sebanyak RM1,000 seorang kepada ahli yang telah mendaftar yang akan disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 5 Februari ini untuk ahli daerah Kuala Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Chik pula akan mengagihkan pemberian itu bagi ahli di Kemaman dan Dungun pada 16 Februari manakala daerah lain akan diadakan dalam waktu terdekat secara berperingkat.

``Sehubungan dengan itu saya menyeru kepada bekas tentera tidak berpencen dapat mendaftar bagi membolehkan bantuan one-off itu dapat disalurkan kepada mereka,’’ ujarnya.

Katanya, mereka yang ingin mendaftar boleh menghubungi beliau di talian 0109177791, Sharif (013-9262034) dan Mohd Zaki (013-9317221) untuk mendapatkan borang atau keterangan lanjut dan setiap ahli akan dikenakan yuran pendaftaran RM10 dan ahli seumur hidup RM50.

Selain itu katanya, persatuan juga sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan sara hidup bagi meningkatkan taraf ekonomi bekas tentera tidak berpencen kerana sebahagian besar mereka bekerja sendiri
Menurut beliau PVTB di peringkat kebangsaan di bawah naungan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi, manakala di peringkat negeri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.