Halaman

11 March 2013

Teganukita 75


Penciptaan Relau PAQ mudahkan proses pelupusan al-Quran

Operasi pembuangan abu al-Quran lama dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks al-Quran ke tengah laut di Perairan Terengganu, kira-kira sejauh sembilan batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Oleh: Noraini Jusoh

Penciptaan Relau Pelupusan al-Quran yang diberi nama Relau PAQ hasil ciptaan kakitangan Bahagian Penyelidikan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu memudahkan proses pelupusan al-Quran di mana kerja-kerja pembakaran dapat dilakukan dengan lebih efisien.

Timbalan Pesuruhjaya, Jabatan Pembangunan Keluarga dan Penyelidikan Maidam, Hajah Samsiah Dato’ Haji Awang berkata, penggunaan relau yang berharga RM7,000 itu juga menjimatkan kos dan masa operasi pelupusan selain tidak menjejaskan alam sekitar.


"Proses pelupusan al-Quran hanya dilakukan tiga hari dalam seminggu dengan menjalankan kerja pembakaran kira-kira lapan jam sehari oleh tiga pekerja.

"Hasil pembakaran al-Quran sebanyak 100 kilogram (kg) menggunakan relau tersebut akan menghasilkan sebanyak 14 kg abu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi pembuangan abu al-Quran lama dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks al-Quran ke tengah laut di Perairan Terengganu, kira-kira sejauh sembilan batu nautika dari muara Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Hajah Samsiah, dalam operasi itu pihaknya berjaya melupuskan 700 kg abu al-Quran hasil daripada pembakaran al-quran sebanyak 1 tan mengunakan Relau PAQ.

"Berbanding cara manual yang digunakan tahun lepas kita hanya dapat lupuskan 200 kg abu al-Quran, tetapi dengan pengunaan relau yang sentiasa dilakukan penambahbaikan, jumlah abu al-Quran yang berjaya dilupuskan dengan cara yang betul dapat ditingkatkan,” katanya.

Tambah beliau, bagi orang ramai yang ingin melupuskan al-Quran boleh menghantar al-Quran lama yang rosak ke Pejabat Agama Daerah masing-masing dan setakat ini tiada sebarang bayaran yang dikenakan.

"Setiap orang bertanggungjawab menjaga kesucian al-Quran dan sekiranya tidak tahu cara yang betul untuk melupuskan al-Quran yang telah rosak bolehlah menghantarnya kepada kami untuk dilupuskan mengikut hukum syarak,” jelasnya.

 

Satu kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam


Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Dato' Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri (gambar) berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.

"Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020', di Putrajaya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.

Dato' Seri  Najib berkata semua inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).

Perdana Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.

"Ini bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa.

"Semoga inisiatif itu dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara," katanya.

Beliau  berkata sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

Perdana Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

 

PMINT sasar 50 peratus pendapatan menerusi sewaan aset

Oleh: Aida Abd Rahman

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) digesa supaya membangunkan lebih banyak projek hartanah di seluruh negeri supaya mampu mencapai 50 peratus pendapatan menerusi sewaan aset menjelang 2017.

Menjadi tanggungjawab kepada PMINT untuk menyediakan kemudahan yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan rakyat negeri ini dan sehingga kini, PMINT sudah membangunkan banyak projek perumahan dan perkedaian di seluruh Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sehingga kini PMINT menjana 40 peratus pendapatan menerusi sewaan premis bangunan kediaman, perkedaian, ruang niaga, pejabat, bengkel dan kilang industri.

Dato' Seri Haji Ahmad Said
“Sudah sampai masanya PMINT mempelbagaikan sumber ekonomi bagi meningkatkan pendapatan termasuk mencapai sehingga 50 peratus daripada sewaan aset (hartanah) dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.

“Malah, PMINT juga perlu meneroka lebih banyak bidang ekonomi baru supaya dapat merancakkan lagi sosioekonomi setempat dan mengubah lanskap pembangunan negeri,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata sebagai agensi terawal yang ditubuhkan di Terengganu, PMINT berperanan meningkatkan penglibatan dalam bidang ekonomi dengan melabur dalam sektor berpotensi serta meneroka pelbagai bidang ekonomi baru dan sedia ada bagi mengubah lanskap pembangunan negeri secara keseluruhannya.

Katanya, sememangnya menjadi tanggungjawab kepada PMINT untuk menyediakan kemudahan yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan rakyat negeri ini dan sehingga kini, PMINT sudah membangunkan banyak projek perumahan dan perkedaian di seluruh Terengganu.

Selain menjana pendapatan menerusi jualan hartanah seperti premis perkedaian, ruang pejabat dan perumahan, PMINT juga diberi tanggungawab oleh kerajaan negeri sebagai penyelia projek Perumahan Awam Kos Rendah di seluruh Terengganu sejak 2009.


FAKTA DAN BUKTI: SIAPA ASALNYA RAMPAS TANAH??



KALAU sekiranya tidak diberi penerangan yang jelas kepada rakyat, kerajaan Barisan Nasional (BN) selalu digambarkan dengan gambaran yang salah dengan fakta-fakta yang salah.

Pemimpin pembangkang selalu merahsiakan punca sebenar atau dalam dialek Terengganu disebut ‘susuk punca’.

Misalnya dalam isu rampasan tanah yang merek halakan kepada kerajaan Barisan Nasional, tetapi sebenarnya yang berbuat demikian adalah kerajaan pembangkang yang memerintah Terengganu pada 1999-awal 2004).

Contohnya Rancangan Tatatur Perpindahan Banjir di Kawasan Pengkalan Merbau, Mukim Hulu Nerus Daerah Setiu.

Senarai kelulusan kepada peserta-peserta terbabit telah diluluskan oleh Kerajaan BN Terengganu pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar (sila rujuk surat lampiran) PTG.TR 07/171998/0008(7).

Namun sebaik kerajaan pembangkang mengambil alih di Terengganu, di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, senarai baru telah dibuat menggantikan senarai sebelumnya.

Sila rujuk surat lampiran: PTG.TR 07/17/1999/0005 (9).


 Ini bermakna mereka yang tersenarai sebelumnya tiada lagi dengan wujudnya senarai baru- dengan bahasa kasarnya, tanah yang mereka terokai telah dirampas dan diberi kepada orang baru yang sudah tentu ada kaitannya dengan penyokong parti yang baru berkuasa waktu itu (Nov 1999).

Sehubungan dengan itu pelbagai operasi diadakan untuk memastikan mereka yang meneroka sebelumnya sebagaimana dalam senarai asal di zaman kerajaan BN tidak mengusahakan lagi tanah itu.

Jika diusahakan atau ‘rentah’ maka ia sudah menjadi satu kesalahan kerana dalam senarai baru yang dibuat oleh kerajaan baru ia sudah diberikan kepada orang lain. Amat sedih dan pilu.....segala kayu, pagar, pokok tanaman dan sebarang binaan dimusnahkan.

 

UniSZA sasar KPI 1,000 berita 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menetapkan sasaran 1,000 berita dan artikel mengenai pusat pengajian itu di media massa sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2013.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata sasaran itu realistik dan penting sebagai langkah meningkatkan promosi dan publisiti UniSZA supaya Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu lebih terkenal di mata umum dan mendapat tempat di kalangan pelajar dalam mahupun luar negara.

“Saya tetapkan supaya Bahagian Komunikasi Korporat (UniSZA) mampu mencapai KPI itu dengan menyediakan bahan berita supaya dapat disiarkan oleh pihak akhbar.

“Untuk mencapai matlamat itu, UniSZA juga akan menggalakkan pegawainya supaya menyediakan berita dan gambar yang sesuai untuk diedarkan kepada media di mana mungkin jika pihak media berkenaan tidak dapat membuat liputan (ketika majlis berlangsung) , kita sudah menyediakan bahan supaya dapat disiarkan mereka nanti,” katanya kepada pemberita di satu majlis, di Pulau Duyong, baru-baru ini.

Prof Dr Yahaya juga akan terus menerapkan amalan mesra media di setiap program yang bakal dilaksanakan pihaknya termasuk program bersifat antarabangsa.

Katanya, UniSZA yang merancang untuk menjalankan program mobiliti pelajar ke Aceh Indonesia yang dijangka pada Ogos ini, juga berhasrat membawa wakil media menyertai aktiviti khidmat sosial di negara jiran itu nanti.

 “Pada kali mungkin kita akan bawa pelajar dari Bidang Perubatan dan Sains Kesihatan bersama wakil wartawan sepanjang program itu, kemudiannya diikuti program-program antarabangsa yang lain.

“Wartawan akan dilibatkan bersama secara bergilir-gilir dalam usaha kita mendapat publisiti yang lebih meluas dan tepat di mana program itu dilaksanakan,” katanya.


Program kemasyarakatan mematangkan pelajar

Oleh; Esah Abdullah



“Program kemasyarakatan mampu mematangkan pelajar bila mereka benar-benar berada dalam dunia pekerjaan kelak,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Khazan Che Mat.

Katanya, ramai orang belajar agama tetapi kurang iman dan banyak orang cerdik pandai tetapi masih tidak mampu menawan hati masyarakat.

“Keadaan itu seakan menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupan sekarang di mana orang yang berilmu kurang menyertai aktiviti kemasyarakatan kerana kekangan waktu dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Program Khidmat Bakti Masyarakat (PKBM) Pelajar Institut Perguruan Dato’ Razali Ismail (IPGDRI) di Kampung Bukit Wan Batu Rakit baru-baru ini.

Hadir sama Pensyarah Penasihat PKBM, Ustaz Azlan Jaafar; Pengarah PKBM, Encik Ahmad Fahmi Abdul Malik dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun ismail serta 40 orang pelatih IPGDRI yang menyertai program itu.

YB Haji Khazan meminta pelatih mengambil kesempatan bergaul dan memahami cara kehidupan orang kampung kerana suatu hari mereka akan menjadi sebahagian daripada masyarakat di pendalaman.

“Pengalaman boleh mendidik seseorang itu menjadi seorang yang lebih terbuka dan positif terhadap persekitaran di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Katanya, seorang pendidik yang berjaya adalah mereka mampu meletakkan dirinya menjadi sebahagian daripada masyarakat dan pelajar tempat ia bekerja serta jiran disekelilingnya sebagai sebahagian daripada keluarganya.

Program PKBM berlangsung sehari disertai 40 orang pelatih IPGDRI tahun dua itu dipenuhi dengan aktiviti kemasyarakatan termasuk gotong royong bersih kawasan masjid, longkang, taman dan jalan utama serta menanam pokok yang diakhiri jamuan makan tengahari bersama penduduk kampung.
 

Suasana politik BN lebih baik

Oleh: Suriati Ali

 Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan suasana politik Barisan Nasional (BN) sekarang lebih baik berbanding sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008, hasil pelbagai pendekatan baru yang dilaksanakan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak.

 "Saya berpendapat, sejak Dato’ Seri Najib ambil alih (jawatan Perdana Menteri), iklim bertukar dan beransur-ansur memihak semula kepada BN, kepada Umno khususnya.

 "Ini kerana saya sedar tahun 2008, ramai juga orang Umno yang mengundi parti lawan kerana kecewa. Jadi sekarang ini tiada sebab lain mereka kecewa dan banyak usaha sedang dilakukan Dato’ Seri Najib untuk memulihkan semula sokongan kepada Umno dan BN.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Tokoh Negarawan, di Dewan Majlis Daerah Marang, di Kampung Paya, Marang, kelmarin.

 Kira-kira 6,000 orang terdiri daripada penduduk kampung, kakitangan kerajaan dan ahli-ahli pertubuhan kebajikan hadir pada majlis anjuran panel Perundingan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri.

 Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang dan beberapa pemimpin setempat.

 Tun Dr Mahathir turut memberitahu tiada jalan keluar bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan orang Melayu kecuali menumbang atau `meranapkan’ parti Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 Beliau berkata, Pas yang dipimpin Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang hanya wujud bagi kepentingan diri pemimpin parti berkenaan dan bukan bagi kepentingan bangsa, agama dan negara.

“Jika mereka benar-benar ikhlas berjuang untuk agama dan bangsa, mengapa timbul isu solat Jumaat dua kariah dan sanggup melabelkan Umno sebagai kafir serta mendoakan agar Barisan Nasional (BN) tumbang dan wujudnya Amanat Haji Hadi.

 “Semua itu memberi kesan yang cukup hebat kepada masyarakat, terutama golongan Melayu yang kini berpecah kepada tiga puak, iaitu ada yang berpihak kepada Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

 

10 March 2013

KIK UniSZA membudayakan inovasi

Oleh; Esah Abdullah

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bertindak sebagai proses transformasi meningkatkan mutu kerja kalangan penjawat awam.

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, konvensyen ini akan menjadi titik permulaan untuk terus membudayakan inovasi di UniSZA.

‘’Konvensyen yang julung kali diadakan itu juga merupakan satu kaedah dan pendekatan meningkatkan mutu kerja melalui pengendalian yang cekap dan berkesan,’’ katanya di majlis Perasmian Konvensyen KIK di universii itu baru-baru ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pendaftar UniSZA. Prof. Madya Dr Nik Wan Omar.

Katanya, konvensyen itu berupa pertandingan antara jabatan menjurus ke arah peningkatan mutu kerja kalangan kakitangan dan akan dijadikan acara tahunan.

 Sehubungan itu Kumpulan Lucero yang mewakili Jabatan Perpustakaan menjuarai konvensyen berkenaan melalui projek bertajuk `Mempercepatkan Proses Akhir Bahan Pusat Tanggungjawab (PTi): Jabatan Perpustakaan’.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan UniQ gabungan daripada Jabatan Bendahari, Pusat Komunikasi Korporat dan Jabatan Naib Canselor dengan projek bertajuk ‘Proses Pengeluaran Barangan Stor Mengambil Masa Yang Lama’.

Manakala tempat ketiga dimenagi oleh Kumpulan Intelek yang diwakili oleh Pejabat Pendaftar, Jabatan Pembangunan Akademik dan Pusat Teknologi Maklumat.

Tempat pertama menerima piala pusingan dan wang tunai RM1,000 tempat kedua RM700, plak dan sijil penyertaan dan ketiga RM500, plak dan sijil penyertaan..

 

JPJ sasar 85 peratus perkhidmatan online

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan peningkatan perkhidmatan secara online kepada 85 peratus menjelang 2015.

Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Sri Solah Mat Hassan berkata, jabatan menggalakkan orang ramai membuat urusan melalui saluran online berdasarkan persekitaran semasa rakyat mempunyai akses kepada internet.

“Selain daripada saluran altenatif iaitu di kaunter pejabat pos dan secara online melalui e-khidmat selain 15 pejabat JPJ negeri serta 115 buah cawangan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPJ Malaysia di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu semalam.

Namun begitu katanya, JPJ melihat perkhidmatan melalui kaunter masih diperlukan di kawasan-kawasan terpinggir dan luar bandar yang mempunyai akses perkhidmatan agak terhad.

Menurutnya, JPJ mempunyai dua strategi untuk menambah bilangan pejabat iaitu menaik taraf Stesen Penguatkuasa (SPK) yang sebelum ini hanya melaksanakan aktiviti operasi penguatkuasaan sahaja.

“Tahun lalu kita telah menaik taraf SPK Seri Lalang kepada Pejabat JPJ Cawangan Kluang, Johor yang menyediakan perkhidmatan pendaftaran baru kenderaan persendirian, pengeluaran dan pembaharuan Lesen Memandu serta Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan), tukar milik kenderaan dan bayaran saman,” katanya.

Katanya, sejak pejabat JPJ cawangan Klaung ini beroperasi pada April tahun lalu, pihaknya berjaya membuat kutipan hasil sebanyak RM10.8 juta.

 Sehubungan itu, usaha penaiktarafan SPK kepada pejabat cawangan merupakan penyumbang kepada peningkatan kutipan hasil jabatan.