Halaman

06 April 2013

Manifesto BN Terengganu utama projek urbanisasi, ekonomi, pelajaran

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Projek urbanisasi dan perumahan, pembangunan ekonomi dan usahawan serta pendidikan menjadi agenda utama yang bakal dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang dijangka diumumkan minggu depan.

Manifesto tambahan bagi BN Terengganu itu akan menjdi pelengkap kepada maifesto BN Pusat yang akan diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam tempoh terdekat ini.

Apa pun, sama ada manifesto BN Pusat atau manifesto tambahan BN Terengganu, yang pasti ia dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

Manifesto tambahan BN Terengganu digubal berdasarkan keperluan semasa rakyat negeri ini, khususnya di segi penempatan dan peluang pekerjaan serta kepentingan bidang pelajaran yang akan mengubah masa depan keluarga berpendapatan rendah.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga Pengerusi BN Terengganu, berkata manifesto tambahan BN Terengganu akan diumumkan selepas manifesto BN pusat dilancarkan.

Manifesto tambahan BN Terengganu juga akan menitikberatkan bidang sukan bagi memantapkan kedudukan negeri ini sebagai kuasa baru sukan di negara ini.

Antara kemudahan yang bakal dilaksanakan di negeri ini jika BN masih terus berkuasa selepas PRU13 ialah menyediakan prasarana khas sukan berisiko tinggi dan membina gelanggang futsal di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

 

05 April 2013

Isteri YB Pas dilantik ahli lembaga YPKT

Lima lagi sebab yang digariskan dalam buku bertajuk “Ala Balerr!!!” yang mendedahkan mengapa Pas tidak layak menggantikan Umno ialah:

1. Isteri YB Pas dilantik ahli lembaga YPKT – Bukan saja kroni dan anak-beranak, malah isteri kepada YB Pas turut diberi ‘habuan’ oleh Kerajaan Pas Terengganu. Isteri Exco, Dato’ Harun Taib iaitu Fatimah Ibrahim dan isteri Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad iaitu Dr Noraini Hashim dilantik sebagai Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)

2. Pas pecat, tukar pegawai ikut selera politik

3. Exco arah anak syarikat, badan berkanun ambil firma guaman sendiri – Exco Kerajaan Pas, Dato’ Wan Mutalib Embong mengarahkan anak syarikat kerajaan negeri (EPIC Berhad) dan badan berkanun (Yayasan Pembangunan Keluarga) mengambil firma guaman miliknya, Wan Abd Muttalib & Co sebagai panel peguam.

4. Khutbah: YB Pas langgar titah sultan – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Shukrimun Shamsuddin tidak melepaskan peluang untuk tunjuk ‘angkuh dan biadab’ dengan mencampakkan teks khutbah yang disediakan JHEAT di Masjid Teluk Pasu.

5. 6 Enakmen syariah tiru undang-undang Islam Pusat – Kerajaan Pas Terengganu dakwa 6 enakmen Islam yang akan dibentang menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri islam pertama melaksanakan undang-undang itu. Apabila dibentangkan di sidang DUN pada 25 Ogos 2001, pecahlah tembelang apabila lima daripada enakmen itu diceduk terus daripada Akta Perlimen yang diluluskan sejak tahun 1993 untuk Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak, Melaka, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain.

Bersambung......

Dua tokoh agama pondok Kelantan akan menjelaskan 7 dalil haram undi PAS



Oleh: Mohammad Ishak 

Dua tokoh agama dari Kelantan akan memberi penjelasan secara terperinci tujuh dalil haram mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke 13 tidak lama lagi.

Penerangan itu akan disampaikan sempena Ceramah Umum PRU13 anjuran UMNO Bahagian Besut yang akan diadakan di Dataran Jertih Souq, jam 9 malam ini.

Dua penceramah terbabit ialah Ustaz Mohd Shamsul Yusof Al-Hafi dari Gerakan Ustaz Muda Membela Agama Tanah Air (UMMAT) dan Ustaz Zainal Abidin Awang , Pengerusi Minda Pondok-Pondok Nnegeri Kelantan.

Kehadiran dua tokoh dari NGO agama terkemuka dari serambi Mekah itu dijangka menarik perhtian penduduk daerah Besut termasuk penyokong PAS yang akan mendengar ceramah bekas ahli parti berkenaan.

Dua penceramah terbabit akan menjelaskan kepada umat Islam tujuh dalil haram bagi umat Islam mengundi calon PAS pada pilihan raya kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya mengundang dua penceramah itu bagi menjelaskan kepada orang ramai kedudukan sebenar ke mana arah masyarakat Islam unruk memilih pemimpin pada PRU13 ini.

“Jika sebelum ini PAS mengkafirkan ahli UMNO yang bersahabat dalam politik dengan MCA.MIC dan Gerakan kerana mereka bukan Islam tetapi kali ini dua tokoh terbabit akan memberi penjelasan sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, Idris menyeru orang ramai khasnya umat Islam negeri ini menghadiri majlis ceramah berkenaan kerana ia amat menarik dan dalam suasana mood pilihan raya sebenar.

Jabatan Penerangan tubuh pusat media PRU13

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu menubuhkan Pusat Media Rasmi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk memudahkan petugas media menjalankan tugas mereka sepanjang kempen pilihan raya tersebut.

Pusat media berkenaan yang ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bertempat di Pejabat Kawat di 1102-1 Tingkat Atas, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan, Mohd Iskandar Jaafar, berkata pusat media tersebut menyediakan kemudahan komputer berinternet, pencetak, faksmili, telefon dan pelbagai kemudahan lain untuk kegunaan petugas media sepanjang kempen PRU13.

 “Pusat media ini dibuka sebaik saja Parlimen dibubarkan hari Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lembaga Muzium anjur pertandingan mewarna warisan kita 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Dungun akan menganjurkan Pertandingan Mewarna Warisan Kita 2013 Peringkat Daerah Dungun bertempat di Muzium Daerah Dungun pada 6 April ini.

Penolong Kuratornya, Mohd Saberi Muda berkata, acara tahunan yang telah masuk kali ke enam diadakan ini dijangka akan disertai 800 kanak-kanak tadika KEMAS, Yayasan Islam Terengganu, Tadika Perpaduan, Pra Sekolah dan pelajar Tahun 1 hingga 6 sekitar daerah Dungun.

"Tema pertandingan kali ini adalah ‘Sayangi Warisan Kita’ yang bermatlamatkan memberi apresiasi budaya dan sejarah kepada generasi muda ke arah melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan budaya bangsa,” katanya.

Katanya, pertandingan mewarna tersebut juga akan dimeriahkan dengan aktiviti sampingan seperti demontrasi membuat wau, permainan tradisional, persembahan bakat kanak-kanak, kuiz dan cabutan nombor bertuah. 

Tambah Mohd Saberi, urusetia program turut menyeru orang ramai datang untuk sama-sama memeriahkan program itu sekaligus mempromosikan Muzium Daerah Dungun sebagai destinasi ‘patut lawat’ di Daerah Dungun.

 

3,400 Puteri penggerak IT PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 3,400 Puteri Umno Terengganu dikerahkan sebagai jentera penggerak Teknologi Maklumat (IT) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tidak lama lagi.

Setiap 340 Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan diwakili 10 Puteri yang terlatih bagi memantau dan melancarkan proses memasukkan data serta sebarang maklumat berkaitan daftar pemilih dan pengundian.

Ketuanya, Puan Nordiana Shafei, berkata semua jentera Puteri sudah lama bersiap sedia, iaitu sejak PRU12 lalu dalam mengemaskini sistem IT, selain sebahagiannya lagi bertindak sebagai perayu undi bersama Wanita Umno yang memasuki setiap cawangan.

“Kita sudah bersedia dan memahirkan diri sebaik selepas PRU12 lagi. Selepas berehat sekejap kita menyambung tugas serta meneruskan semual latihan supaya jentera Puteri lebih mahir menguruskan sistem IT itu.

“Semua PDM sudah kita lengkapi dengan jentera Puteri masing-masing dan kelengkapan bagi berdepan PRU13,” katanya.

Puan Nordiana berkata, berdasarkan pengalaman dan latihan mantap yang disediakan pihaknya, pengurusan, Puteri tidak berdepan masalah bagi membantu melancarkan jentera parti bagi berdepan PRU yang akan berlangsung bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Pemuda Umno untuk mengenal pasti pengundi pertama kali atau dikenali sebagai ‘first timer vouters’ dan proses kemaskini data mula dilaksanakan sejak tahun lalu lagi.


Terengganu duduki tangga ketiga FDI

Oleh: Suriati Ali 

Kestabilan politik dan ekonomi terbukti menarik minat pelabur asing melabur di negeri ini apabila Terengganu kini berada di kedudukan ketiga terbaik dalam negara dengan meraih kadar kemasukan Pelaburan Lasung Asing (FDI) tertinggi.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peningkatan jumlah FDI setiap tahun itu turut dipengaruhi potensi negeri ini yang mempunyai kepelbagaian sumber hasil alam serta infrastruktur lengkap yang menyajikan suasana kondusif dan mesra pelabur.

 Katanya, peningkatan itu juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang kemajuan serta penglibatan syarikat tempatan dalam pelaburan yang dilaksanakan.

"Tahun ini sahaja, kerajaan negeri berjaya menarik pelabur dari luar negara dengan jumlah pelaburan sebanyak RM25 bilion melalui industri besi waja di daerah Kemaman termasuk pembinaan sebuah kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion.

"Apabila siap nanti, projek ini dijangka dapat memberi peluang sekurang-kurangnya 5,000 pekerjaan kepada anak tempatan," katanya dalam satu majlis baru-baru ini..

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, peningkatan kadar FDI di Terengganu bukan sahaja dipengaruhi projek-projek yang dijalankan ketika ini, tetapi hasil kejayaan perkembangan projek sedia ada dan yang sedang dalam pembinaan.

Jelasnya, melalui pelaburan yang diraih, kerajaan negeri menjangkakan memperoleh pulangan sehingga RM50 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan dalam kalangan pelabur asing menerusi pelbagai industri berskala besar.

"Tahun lepas sahaja, kita menerima pelbagai pelaburan misalnya dari China, Korea dan Perancis yang bakal menawarkan kira-kira 6,000 bidang pekerjaan apabila beroperasi dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.

 

678,642 orang layak mengundi di Terengganu

Seramai 678,642 penduduk negeri ini yang telah mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Mengikut perangkaan SPR, berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 678,642 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

 Mereka merupakan sebahagian daripada 13,291,385 orang di seluruh negara yang layak mengundi pada PRU13 yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet Rabu lalu bagi memberi laluan kepada PRU13.

Pengundi di Terengganu akan menentukan pemilihan wakil rakyat bagi mengisi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Barisan Nasional (BN) memperolehi majoriti dua pertiga apabila menang 24 daripada 32 kerusi DUN. BN juga menang tujuh daripada lapan kerusi Parlimen.

Peserta menunggu johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Terengganu

Oleh: Mohammad Ishak 



Dua peserta menunggu menunjukkan kehebatan masing-masing apabila muncul Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Stadium Mini Besut, Kampung Raja malam tadi.

Peserta dari Kuala Terengganu, Mohd Hafas Ali muncul johan bahagian Qari manakala Siti Mas Ismail dari Besut muncul johan bahagian Qariah. Dengan kejayaan itu dua peserta terbabit juga akan mewakili Terengganu ke Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 2 Mei depan di Lundang,Kota Bharu, Kelantan.


Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Tilawah Al Quran mengumumkan nama peserta yang berjaya.

Manakala DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan upacara penutup dan menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat serta pemimpin kerajaan negeri.

Mohd Hafas dan Siti Mas yang juga johan menunggu sebelum ini pernah lima kali menjadi johan tilawah Al Quran.

Dengan kejayaan itu mereka memperolehi wang tunai RM7,000 setiap seorang beserta piala.

 









04 April 2013

UniSZA bakal tersenarai 10 universiti terbaik negara

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan berada dalam kelompok 10 buah universiti terbaik negara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pengerusi UniSZA, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, dengan kepakaran tenaga kerja yang ada serta disokong dengan beberapa fakulti temasuk Fakulti Perubatan ia mampu menarik penyertaan pelajar dari luar Terengganu.

“UniSZA salah sebuah universiti yang terkenal di rantau ini dan ia perlu dikembangkan untuk menjadi sebuah universiti yang hebat di negara kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) di UniSZA hari ini.

Hadir sama naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahya Ibrahim. Selain itu katanya, UniSZA juga kini ke arah mennubuhkan sebuah hospital penyelidikan dan yakin ia akan menjadi pusat penyelidikan penyakit-penyakit tropikal bagi penduduk di Pantai Timur.

“Sehingga ini peruntukan dan tapak telah diluluskan dan kini hanya menunggu reka bentuk bangunan sahaja di mana pembinaan dijangka dapat dimulakan tahun ini,” katanya.

Katanya, setakat ini UniSZA telah mendapat tanah seluas 400 hektar di Besut untuk kegunaan Fakulti Pertanian sekali gus membantu kerajaan untuk meningkatkan pendapatan petani-petani dan juga tujuan penyelidikan hasil tanaman untuk manfaat penduduk di negeri ini.

“UniSZA juga bukan universiti biasa tetapi ia sebuah institusi yang boleh memacu ekonomi dan perkembangan negeri-negeri di Pantai Timur khususnya di Terengganu,” katanya.