Halaman

04 April 2013

UniSZA bakal tersenarai 10 universiti terbaik negara

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan berada dalam kelompok 10 buah universiti terbaik negara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pengerusi UniSZA, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, dengan kepakaran tenaga kerja yang ada serta disokong dengan beberapa fakulti temasuk Fakulti Perubatan ia mampu menarik penyertaan pelajar dari luar Terengganu.

“UniSZA salah sebuah universiti yang terkenal di rantau ini dan ia perlu dikembangkan untuk menjadi sebuah universiti yang hebat di negara kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) di UniSZA hari ini.

Hadir sama naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahya Ibrahim. Selain itu katanya, UniSZA juga kini ke arah mennubuhkan sebuah hospital penyelidikan dan yakin ia akan menjadi pusat penyelidikan penyakit-penyakit tropikal bagi penduduk di Pantai Timur.

“Sehingga ini peruntukan dan tapak telah diluluskan dan kini hanya menunggu reka bentuk bangunan sahaja di mana pembinaan dijangka dapat dimulakan tahun ini,” katanya.

Katanya, setakat ini UniSZA telah mendapat tanah seluas 400 hektar di Besut untuk kegunaan Fakulti Pertanian sekali gus membantu kerajaan untuk meningkatkan pendapatan petani-petani dan juga tujuan penyelidikan hasil tanaman untuk manfaat penduduk di negeri ini.

“UniSZA juga bukan universiti biasa tetapi ia sebuah institusi yang boleh memacu ekonomi dan perkembangan negeri-negeri di Pantai Timur khususnya di Terengganu,” katanya.