Saya dan anak-anak redha dengan pemergiannya dan menganggapnya ia sudah ketentuan Allah s.wt.,” kata Puan Rosiah Dahlan,52, balu ACP Ibrahim Lebar yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu pada awal bulan ini.
“Kematian itu adalah pasti dan sebab musababnya hanya Allah yang menentukannya dan sebagai isteri anggota pasukan keselamatan kita sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku dan hadapinya dengan penug redha,” katanya.
Katanya, biarpun Allahyarham sudah tiada namun beliau sering mendoakan anggota keselamatan yang sedang bertugas di Lahad Datu beroleh kejayaan dan sentiasa dalam perlindungan Allah s.w.t.
“Kepada para isteri yang ditinggalkan, restuilah perjuangan suci mereka serta jangan putus berdoa untuk keselamatan suami yang sedang berjuang demi pertahankan kedaulatan dan keamanan negara,” katanya dalam nada sebak.
Beliau ditemui ketika menjadi tetamu Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) hadir bersama anak bongsunya, Amira Shahida 17.
Serikandi telah menyerahkan sumbangan wang tunai masing-masing RM5,000 kepada Puan Rosiah dan juga ibu kepada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, Puan Khadijah Ismail yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di kediaman Seri Iman semalam.
Puan Rosiah mengucap ribuan terima kasih kepada Serikandi terutamanya To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud di atas keperihatinan beliau dan berharap mendapat keberkatan dunia dan akhirat.
“Saya dan anak-anak akan sentiasa berkunjung ke negeri ini untuk mengeratkan ikatan kekeluarga dengan keluarga Allahyarham yang tinggal di Jabi sepertimana yang dilakukannya ketika Allahyarham masih ada,” katanya.
Selain Amira Shahida, dua lagi anak Puan Rosiah ialah Amirul Syafiq, 21, sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor dan Amira Shahila, 20, sedang menuntut di Mesir.