Halaman

03 April 2013

JPNT rangka strategi baru kekal kecemerlangan pendidikan tahap tinggi

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) telah merangka satu strategi baru bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan pendidikan negeri berada pada tahap berkualiti tinggi mulai tahun ini hingga 2015.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Mohd Zubir Embong berkata, agenda kemenjadian dan kecemerlangan pendidikan negeri telah ditunjangi dan didasari oleh Teori Fungsional dan Operasional Prestasi Akademik Mendadak Tinggi (TFOPAMT).

“Pendekatan ini mengambil kira keserasukan Auditan Hasilan Berteraskan OTI dan Pecutan Stantard Tinggi (PESAT) selaras dengan Pelan Trasformasi Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya kepada Teganukita.

Katanya. refleksi daripada hakikat iniiah maka Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular (5P2M) Anjung Ilmu telah dihasilkan.

“Ia bertindak sebagai satu mekanisma yang komprehensif dalam mendalami proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran prestasi pembelajaran murid dan seterusnya mengambil tindakan intervensi yang diperlukan oleh murid,” katanya.

Menurutnya, penerbitan pakej ini mempunyai empat objektif termasuklah memantau prestasi pembelajaran murid mengikut tahap penguasaan serta merancang program intervensi yang sesuai dengan tahap pencapaian murid.

Katanya, pelaksanaan 5P2M Anjung Ilmu berdasarkan elemen peruncingan, pentaksiran (formatif dan sumatif), pemulihan, pengukuhan, pengayaan dan penilaian semula berasaskan beberapa perkara bagi menentukan hasil pembelajaran dalam bilik darjah.

“Ia turut membantu guru melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan berdasarkan elemen Diagnostik, Prognostik, Normatif dan Preskriptif (DPNP),” katanya.

Selain itu katanya, pakej ini menjurus ke arah memastikan agenda PESAT mampu dicapai secara cepat, cekap dan tepat dengan membudayakan gerakan Murid Berbuat Guru Membimbing (MBGM).

“5P2M terhasil daripada satu proses tembus lalu yang mengambil kira sistem pemembolehan yang ada dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa merangkumi item-item pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran yang mencakupi produk penting dan menyeluruh dikuasai oleh murid dan guru,” katanya.

Katanya, penjanaan berfokus tenaga dan intelektual tinggi pegawai mata pelajaran serta disokong 800 guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (AKRAM) telah berjaya menghasilkan 5P2M Anjung Ilmu berkualiti tinggi.