Halaman

31 March 2013

Kesetiaan 190 TCS kepada kerajaan hari ini : Mohd Kamil

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua 190 Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) diminta memberi kesetiaan tidak berbelah-bahagi kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan juga kepimpinan kerajaan negeri hari ini, kata Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Haji Mohd Kamil Othman.

“Saya mengharapkan semua pegawai tadbir negeri dapat membezakan antara intan dan juga kaca serta membezakan mana yang baik dan lebih baik, supaya apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kita semua mampu menunaikan tanggungjawab untuk memberikan kesetiaan kepada kerajaan hari ini,” kata beliau di Majlis Ramah Mesra Pegawai-Pegawa Tadbir Negeri Terengganu Bersama YAB Menteri Besar, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Haji Mohd Azlan Dagang.

Hadir sama, semua pegawai daerah dan yang dipertua perbandaran daerah seluruh Terengganu.

Haji Mohd Kamil yang juga Pegawai Daerah Kemaman turut mengingatkan TCS bahawa tanggungjawab kumpulan itu amat berat dalam pentadbiran negeri khususnya dalam memastikan kehendak rakyat sentiasa dipenuhi berdasarkan gagasan kerajaan negeri dan Pusat.

 “TCS merupakan kumpulan `premier service’ dan kita menjadi harapan kepada pentadbiran negeri. Malah sedar atau tidak, tanggungjawab TCS amat berat bagi memastikan kehendak rakyat, iaitu pelanggan kita sentiasa dipenuhi.

“Bagi memenuhi tuntutan dan kehendak pelanggan, kita haruslah sentiasa bekerja keras bagi menunjukkan kualiti perkhidmatan yang sebenar sebagai premier service,” katanya.

Beliau turut menasihati kumpulan TCS supaya menjaga tingkah laku, peribadi, tatasusila dan saling menghormati antara TCS lama dengan yang baru bagi menjaga imej kumpulan itu, selain mengelak tanggapan buruk masyarakat terhadap sektor perkhidmatan awam.

Katanya, kumpulan TCS yang baru perlu menerapkan rasa hormat yang tinggi kepada TCS yang lama bagi mengelak satu masa nanti mereka pula tidak dihormati orang-orang bawahan.

“Harapan kepada TCS muda supaya memandang ke hadapan dan merenung masa depan dengan lebih teliti supaya cara hidup yang baru itu tidak lupa untuk menyelitkan unsur-unsur kesepakatan.

 “Kesepakatan di antara kitalah akan menyumbang kepada kejayaan dan prestasi baik perkhidmatan dalam sistem pentadbiran negeri,” katanya.