Halaman

03 April 2013

Majlis Tilawah Al Quran dapat sambutan peserta


Menteri Besar bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa pengelola majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Terengganu.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kesedaran umat Islam di Terengganu untuk menghayati bacaan kitab suci Al Quran amat mengkagumkan apabila semakin ramai peserta yang menyertai Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Terengganu tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri,Dato’ Mazlan Ngah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri berkata,minat masyarakat Islam negeri ini terhadap tilawah terbukti mendapat sambutan apabila 123 peserta menyertai tilawah pada peringkat awal.

Katanya, daripada jumlah itu peserta daerah Besut paling ramai menyertainya apabila 31 peserta mengambil bahagian. Pecahan mengikut daerah ialah Kuala Terengganu, 17, Kamaman (15), Dungun (15), Hulu Terengganu (16), Marang (11) dan Setiu 18.

Bagaimanapun,katanya, daripada jumlah itu hanya 16 peserta terbaik yang dipilih mewakili setiap daerah menerusi saringan berjaya menyertai majlis tilawah peringkat negeri.

Majlis selama tiga malam bermula malam tadi dan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said manakala upacara penutup dan penyampaian hadiah kepada peserta akan diadakan pada 4 April oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abiddin.

Pada malam pertama tilawah diadakan lima peserta iaitu Mazlan Ibrahim (Setiu), Fatimah Ismail (Dungun),Ahmad Tarmizi Abdul Rahman (Kuala Terengganu) Siti Fatimah Umat (Kemaman) dan Ahmad Zahari dari Marang masing-masing memperdengarkan bacaan.

Manakala pada malam kedua (malam ini) seramai 11 lagi peserta qari dan qariah akan memperdengar bacaan masing-masing pada majlis yang berlangsung di Stadium Mini Besut, Kampung Raja.