Halaman

01 April 2013

RM5,000 menunggu pengunjung ke-500,000 Zoo Bukit Takal

RM5,000 menanti pengunjung ke 500,000 di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal.
Wang tunai bernilai RM5,000 beserta pelbagai hadiah iringan menanti pengunjung ke-500,000 di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid berkata zoo terbesar di Pantai Timur itu yang beroperasi sejak 2009 kini menerima kira-kira 400,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Ini adalah sebagai usaha kita untuk menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke zoo ini dan berharap pengunjung akan dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga mereka sepanjang berada di sini.

“Program pengunjung bertuah ini juga diadakan Sempena Tahun Melawat Terengganu pada tahun ini dalam usaha menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu,” katanya.

Jumaat lepas, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang, Kulai, Johor menerima RM3,000 apabila menjadi pengunjung ke-300,000 serta menerima tajaan penginapan dua hari satu malam di Resort World Kijal beserta RM500 untuk kos perjalanan serta pembelian pelbagai barangan cenderahati daripada pihak zoo.

Zoo berkeluasan 120 hektar ini dilengkapi pelbagai tarikan seperti perkhidmatan trem, kolam mandi dan gelongsor air serta pelbagai taman.

Pengunjung turut berpeluang melihat cahaya kunang-kunang dengan menyusuri Sungai Yak Yah pada waktu malam.