Halaman

01 April 2013

Peranan NGO Wanita ditagih bagi kelangsungan pentadbiran kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) meminta semua Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita di negeri ini menjalankan aktiviti yang menjurus kepada merealisasikan hasrat murni pentadbiran kerajaan sedia ada.

Yang Dipertuanya, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, di samping mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat, NGO wanita perlu bersatu mendokong hasrat kerajaan negeri ke arah memakmurkan rakyat.

“Saya harap NGO wanita dapat menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menjurus kepada hasrat murni kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Serikandi ke-26 di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, peranan NGO wanita sangat besar di mana khidmat dan sumbangan wanita hebat hari ini sentiasa ditagih bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan dapat dikekalkan demi agama, bangsa dan negara.

“Status sebagai isteri wakil rakyat, penjawat awam, anggota keselamatan dan sebagainya tidak menjejaskan tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemakmuran negeri dan negara  tetap digalas dibahu kami,” katanya yang juga isteri Menteri Besar.

Tambahnya, beliau sedar dengan kesibukan tugas hakiki bagi mereka yang bekerjaya dan peranan mendidik dalam rumahtangga bukan perkara mudah seorang wanita berkorban masa dan tenaga.

Katanya, kita perlu bersyukur berada dalam negeri yang aman damai, boleh melakukan aktiviti seharian tanpa perlu takut kepada sebarang ancaman dan pernahkah terfikir dengan saudara kita yang berada dalam negara yang kacau bilau yang rakyatnya sentiasa hidup dalam ketakutan.

 “Saya yakin semua orang tidak inginkan perkara berkenaan berlaku di negeri dan negara kita, lantas hargailah keamanan yang dinikmati hari ini dan kekalkan pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu Serikandi telah menyerahkan sumbangan pentadbiran berjumlah RM34,000 kepada 17 buah NGO wanita di negeri ini.

Turut menerima sumbangan ialah dua balu anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah berjumlah RM10,000 dan masing-masing RM1,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di lapan Parlimen.

Semua sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sekali gus merasmikan Mesyuarat Agung Serikandi kali ke-26.