Halaman

06 April 2013

Umum manifesto BN selepas dapat `lampu hijau’

Oleh Kamarudin Mat Akib dan Nurul Nurul Aziela Saberi 

Barisan Nasional (BN) Terengganu hanya akan mengumumkan senarai calon terbaik untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini selepas mendapat `lampu hijau’ dari Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

 Pengerusinya yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dia sudah bersedia mengumumkan senarai calon BN pada bila-bila masa, kini hanya menunggu kebenaran atau `lampu hijau dari pucuk pimpinan parti BN.

 “Apa yang pasti calon yang bakal diumumkan dan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) nanti, sudah pasti berjiwa rakyat, calon boleh menang, berkaliber dan berwibawa bagi menjalankan tanggungjawan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bangunan Pondok Polis, di Padang Kubu, Kemaman pagi ini. Hadir sama isteri Menteri Besar To’ Puan Hajah Norliza Mahmud,; Ketua Polis Terengganu Dato' Jamshah Mustapa DAN Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman.

Dato’ Seri Haji Ahmad, turut memberitahu bagi menghadapi PRU 13 BN Terengganu akan mengeluarkan manifesto tambahan yang bakal mengandungi pelbagai program dan projek untuk kepentingan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

 “Manifesto berkenaan adalah tambahan kepada manifesto BN Pusat yang dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

 “Walaupun manifesto tersebut masih di peringkat rahsia, kita yakin kandungan janji pemimpin BN itu menjurus kepada soal perumahan, kebajikan rakyat, masalah-masalah perbandaran dan penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya

Sebelum itu, Menteri Besar bersama kira kira 500 penduduk tempatan berbasikal melalui di beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman pagi tadi.



Program Kayuhan Mesra Kijal 2013 anjuran Tatiuc itu bermula kira-kira jam 8 pagi, sebagai langkah mengeratkan hubungan erat dengan penduduk.

Pemangku Rektor TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan Tatiuc turut menyertai program tersebut.



Pada program itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyampaikan sumbangan hamper berupa barangan dapur kepada penduduk miskin.