Halaman

02 April 2013

Kenapa sahabat-sahabat Anwar lari?

Oleh: Cicit Laksamana 

Sudah terang lagi bersuluh...kini terserlah mengapa sejak kebelakangan ini begitu ramai sahabat karib Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meninggalkan beliau.



Antara nama besar yang ‘lari’ daripada Anwar ialah bekas Timbalan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Chandra Muzaffar; Ahli Dewan Negara, Datuk S Nallakaruppan; bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Mohamad Ezam Mohd Nor; bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dr Fairuz Khairuddin dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin.

Beberapa hari lalu, bekas Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Prof Datuk Dr Sidek Baba, pula mendedahkan beliau meninggalkan Anwar yang dikenalinya hampir 40 tahun kerana faktor keruntuhan moral pemimpin PKR itu.

Dr Sidek Baba bukan berbuat demikian secara melulu atau sekadar mendengar cakap-cakap orang, tetapi beliau berbuat demikian berdasarkan fakta yang kukuh yang diperolehi hasil perbincangan dan temubual dengan berpuluh-puluh rakan karibnya.

Rakan karib Dr Sidek Baba yang ditemui pula sebahagiannya terdiri daripada bekas pemimpin ABIM dan mereka yang rapat dengan Anwar sendiri. Kebanyakan rakan-rakan yang telah meninggalkan Anwar seperti Mohamad Ezam, Datuk Zulkifli dan Dr Fairuz kini aktif berceramah di atas pentas terbuka bagi mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya Anwar Ibrahim.

Mereka mempunyai rasa tanggungjawab untuk berbuat demikian supaya rakyat tidak tertipu dengan imej warak dan Islamik yang ditonjolkan Anwar sedangkan peribadi sebenar beliau amat bertentangan dengan imej tersebut.

Bagaimanapun, ada segelintir rakan Anwar yang meninggalkannya seperti Dr Sidek Baba lebih gemar berdiam diri. Biar hanya mereka saja yang tahu siapa Anwar sebenar, tetapi mereka masih ‘malu-malu’ untuk mendedahkan perkara itu kepada khalayak.

Sepatutnya rakyat negara ini perlu membuka mata mengapa individu seperti bekas pengasas ABIM, Ismail Mina, Dr Sidek Baba dan Dr Chandra Muzaffar mengambil tindakan drastik meninggalkan Anwar.

Di segi logiknya, sebahagian sahabat-sahabat Anwar ini sebelum ini sanggup dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi mempertahankan Anwar di awal waktu beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana salah laku dan kegiatan tidak bermoral.

Rakan-rakan Anwar yang pada peringkat awalnya sanggup ‘mati’ bersama-sama beliau, akhirnya membuat keputusan meninggalkan rakan karib mereka setelah pendedahan demi pendedahan berkait Anwar dilakukan.

Dalam hal ini, gesaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar rakyat menamatkan karier politik Anwar serta Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam pilihan raya umum kali ini, amat wajar dipandang serius oleh pengundi di negara ini.

Mengikut Tun Dr Mahathir, ketiga-tiga pemimpin tersebut hanya akan menghalang matlamat mencapai negara maju menjelang 2020 kerana parti politik pimpinan mereka hanya ‘bersatu di permukaan’ sedangkan hakikatnya mereka menipu sesama sendiri demi agenda politik masing-masing selain menjadi Perdana Menteri.

Kini, terserah kepada rakyat Terengganu dan rakyat Malaysia untuk membuat pilihan masing-masing menjelang PRU13 nanti.