Halaman

06 April 2013

PRU13 tidak halang aktiviti kalendar pelancongan negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Walaupun pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 3 April lalu, acara yang dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 akan diteruskan seperti yang dirancang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak akan menjadi halangan kepada pelaksanaan aktiviti yang jatuh pada bulan yang sama dengan pilihan raya kerana pegawai kerajaan negeri dan sekteriat TMT 2013 akan menguruskannya.

"Pegawai-pegawai ini akan menyusun dan menyelia serta akan memastikan acara yang dimuatkan dalam kalendar berjalan lancar,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Pelancongan dan Keusahawanan Kuala Nerus di Pantai Peranginan Mengabang Telipot, Batu Rakit, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik dan Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani.


Sempena festival tersebut, Dato’ Haji Abdul Rahin turut menyempurnakan pelancaran Buku Masakan Tradisional Terengganu hasil tulisan Tuan Sharif Tuan Putera dan pelepasan peserta pertandingan candat sotong.

Mengulas mengenai festival tersebut, beliau berkata karnival itu bersesuaian dengan tema ‘COMEL’ kerana ‘COMEL’ merangkumi sebahagian besar daripada 34 aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri.

"Perkataan C dan O mewakili candat, M mewakili aktiviti mendaki gunung, E mewakili sukan berkuda dan L mewakili sukan luncur yang merupakan acara yang dimuatkan dalam kalendar.

"Festival ini lebih kepada acara yang mewakili candat yang kebiasaannya diadakan antara Mac hingga April dan saya berharap selepas ini semakin ramai pengujung yang mengunjungi pantai yang akan dilakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk dijadikan satu denstinasi tarikan pelancong di kawasan Kuala Nerus ini," katanya.