Halaman

03 April 2013

Pembangkang rasa terancam, wujud Ameerah saingi Puteri Umno

Oleh: Aida Abd Rahman

Kebangkitan generasi muda wanita yang menyokong Umno dilihat sebagai satu ancaman besar kepada pembangkang apabila turut mewujudkan Ameera, satu pergerakan yang menyamai fungsi Puteri Umno.

Ketua pergerakannya, Puan Nordiana Shafei (gambar) menyifatkan pembangkang yang merasa Puteri Umno menjadi aset dan kekuatan kepada kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negara ini dan Terengganu, amnya bertindak menubuhkan Ameerah sebagai usaha menyaingi Puteri Umno.

“Saya rasa setiap kali PRU Puteri Umno akan menjadi sasaran pembangkang. Pembangkang jika tidak rasa ada persaingan dengan Puteri Umno, mereka tidak akan menubuhkan satu lagi sayap wanita mudanya dikenali sebagai Ameerah.

 “Kewujudan Ameerah itu bagi menarik perhatian golongan muda kerana jika kita lihat menerusi Facebook, Ameerah erdiri dari golongan yang sebaya Puteri Umno, gaya pemakaian dan cara berkempennya pun lebih kurang Puteri Umno juga, cuma pakaiannya ditukar kepada biru muda dengan latar belakang hijau,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Puteri Bahagian Kuala Nerus, Puan Aida Azam; Ketua Puteri Bahagian Marang, Puan Marina Endut dan Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu, Puan Zurina Abd Rahman.

Puan Nordiana berkata, pembangkang mahu mengalih perhatian golongan muda termasuk melakukan perang psikologi di alam siber menggunakan Ameerah sebagai wadah bagi menguar-uarkan manifesto Pakatan Rakyat.

“Jika Pakatan Rakyat tidak merasa Puteri Umno sebagai ancaman kepada mereka, pasti Ameerah tidak ditubuhkan. Tetapi, apabila dia cuba mewujudkan pergerakan yang sama menyerupai Puteri membuktikan bahawa sayap bongsu parti Melayu ini menjadi ancaman yang menggugat sokongan golongan muda kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Puan Nordiana berkata sambuatan luar biasa program Himpunan Gagasan Aspirasi Wanita Muda di Stadium Negeri, pada 23 Mac lalu membuktikan golongan muda wanita di Terengganu ini kekal dan semakin padu menyokong kepimpinan Umno dan BN.

 “Perkembangan dan kebangkitan yang ditunjukkan generasi muda wanita itu satu perkara yang amat merunsingkan pembangkang,” katanya.