Halaman

31 March 2013

Disebalik kejayaan suami berdirinya seorang isteri-To' Puan Seri Norliza

Oleh; Esah Abdullah

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat negeri Terengganu (Serikandi) bersikap prihatin terhadap semua golongan yang memerlukan bantuan.

 “Dengan kudrat serta sedikit sumber kewangan yang ada kami bersatu hati bergerak seiringan melakukan kebajikan,” kata Yang Dipertuannya To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Katanya, setiap tahun Serikandi menyumbang RM10,000 kepada 40 buah Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) yang terdapat di negeri ini.

“Sata turut merasa bangga kerana PDK negeri ini telah berjaya mendapat johan kategori duet dan tempat kedua kategori tarian dalam Pertandingan Bakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan yang diadakan baru-baru ini,” katanya.

Isteri Menteri Besar itu berkata demikian di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Serikandi ke-26 dan Himpunan Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kediaman Seri Iman semalam.

Mesyuarat agung kali ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebagai isteri wakil rakyat katanya, Serikandi sentiasa menjalankan tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemakmuran negeri yang perlu digalas bersama, ibarat bukit sama didaki dan lurah sama dituruni.

“Saya berharap para suami sentiasa menghargai pengorbanan dan penat lelah seorang isteri serta tidak mudah bagi kami untuk berpaling tadah atau bertukar arah jika hati tidak dilukai,” katanya.

Katanya, semua harus menerima hakikat, bahawa disebalik kejayaan seorang lelaki dibelakangnya berdiri seorang wanita dan disebalik kejayaan suami dibelakangnya seorang isteri yang sentiasa menyokong kerjaya suami.

Pada majlis itu,Serikandi telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai masing-masing RM5,000 kepada balu dua orang anggota keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa di Lahad Datu.

17 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita turut menerima sumbangan berjumlah RM34,000 antaranya Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Ibu Tunggal, Perkumpulan Wanita (WI), Persatuan Anggota dan Kakitangan Wanita Penjawat Awam Kerajaan Negeri (Puspanita) dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) yang masing-masing menerima RM2,000.

Turut mendapat perhatian Serikandi ialah lapan buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di lapan Parlimen yang masing-masing menerima RM1,000. Semua sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar.