Halaman

04 April 2013

Terengganu sedia tambah tabung TPK

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri bersedia menambah peruntukan Tabung Pesakit Kronik (TPK) sedia ada jika terdapat penambahan permohonan daripada pesakit yang memerlukan rawatan dengan kadar segera.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata pada tahun lalu, seramai 606 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) membabitkan kos lebih RM2 juta.

 Manakala RM500,000 lagi dibelanjakan untuk membiayai pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital luar seperti Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Institut Jantung Negara (IJN) memandangkan kita tidak mempunyai peralatan dan kepakaran bagi menangani kes seperti kanser," katanya.


“Bagi melayakkan pesakit mendapatkan bantuan berkenaan, kerajaan negeri menetapkan beberapa syarat bagi memastikan ia dapat diagihkan dengan adil dan mereka yang benar-benar memerlukan.

 "Pemohon TPK mestilah anak jati Terengganu atau bermastautin di negeri ini lebih 10 tahun. “Kita juga tidak tetapkan bantuan ini kepada mereka yang bekerja sendiri dengan pendapatan rendah, malah kakitangan dan pesara kerajaan juga boleh memohon untuk mendapat pertimbangan," katanya.

 Katanya, selain itu, pemohon juga perlu melalui beberapa proses biasa termasuk mendapatkan pengesahan daripada pihak hospital, wakil rakyat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing.

 "Perkara pertama yang perlu dilakukan pemohon adalah mendapatkan perakuan pemastautin daripada JKKK dan wakil rakyat di kawasan masing-masing.

 "Selepas itu, mereka yang layak akan mendapat pengesahan daripada doktor pakar dan dirujuk kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PPKSP) hospital tertentu untuk siasatan latar belakang, perakuan serta sokongan seterusnya mendapat kelulusan daripada Pengarah Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu," katanya.

 Katanya, selepas kelulusan dibuat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan mengeluarkan baucar bayaran terus kepada pembekal ubatan dan peralatan, bayaran hospital dan institusi kesihatan berkaitan manakala bagi bantuan kewangan lain seperti perbelanjaan pengangkutan dan penginapan akan dimasukkan terus ke akaun pesakit atau keluarganya.

 "Biasanya amaun bantuan akan diberi mengikut harga peralatan dan bil hospital. Bagaimanapun, bagi kes pesakit yang mendapatkan rawatan di luar Terengganu, bantuan kewangan sebanyak RM1,000 akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bagi tempoh enam bulan sekali," katanya.