Halaman

05 April 2013

Lembaga Muzium anjur pertandingan mewarna warisan kita 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Dungun akan menganjurkan Pertandingan Mewarna Warisan Kita 2013 Peringkat Daerah Dungun bertempat di Muzium Daerah Dungun pada 6 April ini.

Penolong Kuratornya, Mohd Saberi Muda berkata, acara tahunan yang telah masuk kali ke enam diadakan ini dijangka akan disertai 800 kanak-kanak tadika KEMAS, Yayasan Islam Terengganu, Tadika Perpaduan, Pra Sekolah dan pelajar Tahun 1 hingga 6 sekitar daerah Dungun.

"Tema pertandingan kali ini adalah ‘Sayangi Warisan Kita’ yang bermatlamatkan memberi apresiasi budaya dan sejarah kepada generasi muda ke arah melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan budaya bangsa,” katanya.

Katanya, pertandingan mewarna tersebut juga akan dimeriahkan dengan aktiviti sampingan seperti demontrasi membuat wau, permainan tradisional, persembahan bakat kanak-kanak, kuiz dan cabutan nombor bertuah. 

Tambah Mohd Saberi, urusetia program turut menyeru orang ramai datang untuk sama-sama memeriahkan program itu sekaligus mempromosikan Muzium Daerah Dungun sebagai destinasi ‘patut lawat’ di Daerah Dungun.