Terengganu satu-satunya negeri di negara ini yang menaja guru-gurunya mengikuti Seminar Confratute di Universiti Connecticut Amerika Syarikat (USA).
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, usaha ini akan berterusan pada masa-masa akan datang dalam bagi meningkatkan pengetahuan guru dan keterbilangan murid.
“Setakat ini seramai 86 guru telah dihantar ke seminar tersebut,” katanya ketika berucap di majlis Apresiasi dan Resepsi Kecemerlangan Pendidikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu Gong Badak semalam.
Katanya, kerajaan juga menaja Persatuan Pendidikan Bestari Negeri Terengganu (T-Confra) sejak 2005 yang dianggotai kumpulan warga pendidik dari sekolah menengah dalam semua mata pelajaran.
“Ia bertujuan melatih guru-guru dalam model Pembelajaran Schoolwide Enrichment Model (SEM) dalam usaha melonjakkan prestasi pendidikan di negeri ini.
Beliau kemudiannya menyeru semua warga pendidik terus memanfaatkan bahan berkualiti tinggi yang telah dihasilkan bagi meneruskan agenda kecemerlangan generasi pewaris yang akan merealisasikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.
“Saya menyanjung tinggi segala usaha, perjuangan dan pengorbanan para guru yang telah berjaya meletakkan Terengganu dalam peta kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.
Selain itu katanya, jangan cepat berpuas hati dan selesa dengan kejayaan yang telah dicapai kerana masih ada ruang dan lompang yang perlu dibaiki dan kerjasama dalam pasukan mesti diteruskan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.