Akibat taksub mahu menawan Putrajaya dan menguasai pemerintahan negara, pemimpin Pas sanggup membiarkan fahaman syiah menular di dalam parti mereka, kata penceramah bebas, Ustaz Abu Sufian Shafei.
Beliau yang juga bekas pengikut Pas dan terpaksa keluar dari parti itu selepas menyedari banyak kesesatan berlaku, berkata pemimpin Pas yang ditemuinya satu masa dahulu bagi membincangkan permasalahan besar berkaitan akidah Islam itu, sanggup mengenepikan hal itu demi mencapai cita-cita menawan Putrajaya terlebih dahulu.
“Apabila keluar jumpa pemimin Pas ketika itu (bagi menyelesaikan isu syiah) mereka kata tidak mengapalah, apabila dapat Putrajaya, barulah kita selesaikan masalah ini. Itu jawapan dia.
“(Menurut pemimpin Pas )Kita tarbiah dan dakwah lah perlahan-lahan kepada mereka (yang mengamalkan syiah). Sedangkan perkara itu sudah berlaku kerana pemipin Pas tidak pandai turun ke bawah untuk melihat kerosakan akidah pengikut dan ahli Pas sendiri. Malah, mereka mendakwa masalah itu tidak serius.
“Mereka tidak tahu bahawa ejen-ejen syiah sudah mula masuk ke dalam Pas dan mereka jadi pemimpin kerana mereka terdiri di kalangan orang yang pandai bercakap seperti peguam menyebabkan mudah mempengaruhi orang lain mengikut mereka dan mengembangkan lagi pengaruh,” katanya dalam siri ceramah isu-isu semasa di Kampung Kubang Parit, kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.
Ustaz Abu Sufian berkata, ramai di kalangan rakannya di dalam Pas ketika itu tidak dapat diselamatkan dan turut terjebak sama dalam fahaman syiah.
Katanya, sikap pemimpin syiah ini bukan sahaja angkuh malah beranggapan dia sahaja yang betul dan semua yang dilakukan oleh pemerintah salah dan sering dipertikaikan.
Selain itu, katanya golongan syiah juga mengamalkan dusta dan tidak mengapa berbohong sebagai satu cara perjuangan dan mencapai cita-cita mereka. Malah, imam-imam syiah yang terkenal mewajibkan taqiyyah kepada setiap individu syiah.
Antaranya, Abu Ja’far berkata : `Taqqiyah (dusta) adalah agamaku dan agama nenek moyangku. Dan tidak beragama bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah. (Rujuk : Usul Min Kafi. (2/219)
Menurutnya, golongan syiah menganggap `wilayah’ sebagai satu rukun Islam berbanding kita sebagai ahli sunnah wal-jamaah yang mengamalkan mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan Haji.
Bagaimanapun, syiah menetapkan solat, puasa, zakat, Haji dan Wilayah yang mana mereka harus dapat menguasai pemerintahan sebuah negara dahulu, barulah solat, puasa dan zakat mereka dikira sah.
“Pas suka sangat golongan syiah, sebaliknya Umno tidak menerima syiah dan golongan yang sesat tetapi kita menerima ahli sunah wal jamaah. Dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa fatwa Majlis kebangsaan pada 1996 dahulu kita sudah memutuskan bahawa syiah tidak boleh diamalkan di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, Pas memang gemar dan memaki hamun kerana amalan syiah benarkan perbuatan itu, tidak kepada ahli sunnah kerana mengeji orang itu perbuatan seburuk-buruk fasik .
Beliau berkata, pemimpin Pas seperti Mohd Sabu jelas mengagungkan fahaman syiah apabila dalam ceramahnya tidak menyentuh hadis dan al-Quran sebaliknya mengangkat perjuangan Hizbullah di Lubnan dan revolusi Islam Iran sejak dari dulu lagi.
Minat, sokongan dan kecenderungan beliau diterjemahkan dengan kerapnya beliau berkunjung ke Lubnan dan Tehran serta seringkali menggunakan contoh perjuangan mereka di dalam ceramahnya.
Secara nyata Mohd Sabu telah menggunakan pengaruh dan jawatannya untuk mengembangkan ajaran dan pegangan syiah di kalangan ahli Pas.
Kerana itulah tidak hairan kenapa beliau kerap berkunjung ke Lubnan dan Tehran dan seringkali membawa pengikut dan pemuda bersama-samanya.
Perkembangan dan situasi itu bukan lagi menjadi rahsia kepada ahli dan pimpinan Pas yang lain.
Semoga satu tindakan yang tegas dapat diambil untuk membendung gejala ini supaya tidak menjadi barah dan nanah yang boleh memecahbelahkan perpaduan, keamanan dan kerosakan akidah umat Islam di negara kita.