Halaman

07 April 2013

Kontraktor wanita perlu disiplin


Oleh; Esah Abdullah

Kontraktor wanita di negeri ini diingat supaya sentiasa mementingkan mutu kerja dan berdisiplin supaya tidak ada yang memandang rendah kepada golongan wanita.

Pengerusi Biro Kontraktor Wanita, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu, Puan Syarifah Salmah Syed Alwi berkata, seharusnya peluang yang diberikan tidak disia-siakan dan sentiasa menjaga prestasi kerja.

“Kita perlu bertanggungjawab dalam memastikan projek yang diperolehi dilaksanakan dengan baik dan juga dalam tempoh ditetapkan tanpa mengundang masalah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun mungkin hanya segelintir sahaja yang bermasalah, tetapi kesannya cukup besar apabila masyarakat membuat kesimpulan dan melebalkan kontraktor tidak bertanggungjawab secara keseluruhan.

 “Saya berharap kontraktor-kontraktor yang mendapat projek samaada kecil atau besar bersikap bertanggungjawab dalam memastikan projek yang diperolehi dilaksanakan dengan baik dan dalam tempoh ditetapkan.

 “Jangan terlalu mengejar keuntungan semata-mata, paling penting kualiti dan mutu kerja yang dilaksanakan,” katanya

Menurutnya, peluang yang diberikan juga sebagai satu langkah untuk memajukan diri dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau seterusnya melahirkan rasa terkilan dengan segelintir kontraktor yang mendapat projek tetapi menjual projek yang diperolehi kepada kontraktor lain demi untuk keuntungan segera.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan menjual projek sebab inginkan keuntungan segera sedangkan pendapatannya tidak seberapa.

Tetapi jika projek itu besar dan tidak mempunyai keupayaan mahupun tenaga (kontraktor yang menerima) memang kita bersetuju supaya sub sahaja.

“Dengan harapan projek yang ingin dilaksanakan berjalan lancar dan prestasi kontraktor terlibat tidak tergugat,” katanya.