Halaman

09 April 2013

Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 di Pulau Duyong

Oleh: Noraini Jusoh

Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 peringkat Parlimen Kuala Nerus akan diadakan selama tiga hari di Pulau Duyong bermula 11 April ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, 10,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan karnival dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Astro dan Pusat Khidmat Masyarakat Kuala Nerus yang menghidangkan pelbagai aktiviti yang mempunyai tarikan tersendiri.

"Terdapat agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan banyak lagi akan terlibat pada karnival kali ini.

"Antara pengisian program yang mensasarkan golongan belia ini ialah selain pameran dan jualan dari jabatan serta agensi yang terlibat, malam keindahan bersama Imam Muda Astro turut diadakan dengan menyajikan aktiviti nasyid, selawat, pentomen, puisi serta forum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Pejabat Parlimen Kuala Nerus, hari ini.

Tambah beliau, acara-acara sukan seperti futsal Mesra Belia 1Malaysia, bola jaring, takraw, autoshow motosikal dan sukan rakyat akan membuka peluang kepada pengunjung untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.

"Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan seni budaya, dikir barat dan persembahan oleh artis jemputan antaranya Bandi Amuk, Azza Elite serta Ajak Raja lawak,” katanya.

Katanya, karnival tersebut bertujuan mendekatkan dan merapatkan hubungan golongan belia dengan pemimpin masyarakat setempat.