Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan program Sepakat Komuniti 1Malaysia peringkat negeri bertempat di Padang Perumahan Awam Kos Rendah, Batu Hampar, Manir pada 12 April ini.
Pengarahnya, Puan Hajah Azizah Awang berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal menyempurnakan majlis perasmian program yang akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik itu.
"Sepanjang sehari program berlangsung, pengunjung berpeluang melihat pameran dan mengunjungi kaunter jabatan dan agensi kerajaan yang turut serta pada program kali ini.
"Selain itu, pertandingan mewarna kanak-kanak Tadika, gubahan masakan, memancing, sukan rakyat dan jamuan rakyat turut diadakan,” katanya.
Menurut beliau, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik.
Katanya, sempena program itu juga JPNT dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir akan mengadakan kunjungan kasih ke rumah penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan sekitar.
Justeru, orang ramai terutamanya penduduk di kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi program tersebut.