Halaman

11 April 2013

Adun Pas hanya tahu hadiri majlis keraian

Oleh: Aida Abd Rahman 

Peranan utama wakil rakyat Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam tidak lebih dari menghadiri majlis keraian yang melibatkan tetamu yang ramai di kawasan pimpinannya itu sejak 30 tahun lalu.

Jika tidak berkunjung sendiri atas pelbagai faktor termasuk berada di luar Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbabit, Haji Abdul Wahid Endut memilih mewakilkan urusan itu kepada isteri beliau, termasuk melawat kematian yang mungkin sampai ke pengetahuannya.

“Wakil Rakyat Pas yang dipilih majoriti rakyat di kawasan ini atas tiket Adun dan Ahli Parlimen hanya menjalankan tanggungjawab yang tidak seberapa itu. Oleh itu, kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab harus memikul amanah `menggantikan’ peranannya untuk menyediakan keperluan dan bantuan sewajarnya bagi membela nasib penduduk.

 “Penduduk Wakaf Mempelam masih ramai yang hidup susah dan memerlukan perhatian termasuk uzur dan menghidap penyakit kronik, kalau biarkan `tok wakil’ menjaga kebajikan, makin melaratlah mereka,” kata Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Wan Mahyuddin berkata, usaha memastikan seluruh penduduk yang memiliki pelbagai latar kehidupan bebas dari kemiskinan, tidak tercicir dalam arus pembangunan dan mendapat manfaat sepatutnya dari kerajaan negeri dan Pusat dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, perkembangan semasa itu membuktikan, pemimpin Pas gagal menterjemahkan hasrat dan kemahuan penduduk termasuk pengikutnya sendiri, malah ia boleh diibaratkan seperti `menang sorak, kampung tergadai’.

Haji Wan Mahyuddin sebagai individu yang dilantik menjadi medium kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan dibantu 34 Ketua Cawangan termasuk 31 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menggalas tanggungjawab menjaga kebajikan penduduk termasuk kepada penyokong Pas sendiri.

"Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 sudahpun dinikmati 6,972 penerima (isi rumah) yang melibatkan jumlah RM3,486,00, selain BR1M untuk remaja kepada 4,079 penerima (RM1,019,750).

"Pada tahun lalu, seramai 6,767 isi rumah menerima BR1M, selain 1,188 penduduk menerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dana Hari Raya (6,600 penerima), Dana Remaja (2,400 penerima) serta lebih 200 penerima bantuan cermin mata," katanya.

Selain itu, beliau berkata bantuan pakaian sekolah juga disediakan kepada 2,093 pelajar yang melibatkan peruntukan RM341,700 pada tahun ini.

 “Kita juga tidak lupa mengiktiraf pelajar terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan awam. Kali ini, seramai 158 orang menerima insentif itu, masing-masing 63 orang (UPSR) dan 95 orang (PMR) dengan jumlah keseluruhan RM15,200.

 “Soal pendidikan, kita tidak mengira sama ada anak pemimpin dan penyokong Pas, sekiranya cemerlang dan wajar diberikan penghargaan Kerajaan BN tetap menunaikan kebajikan dan pengiktirafan dengan seadilnya,” katanya.