Halaman

08 April 2013

Pas guna kanak-kanak pancing undi

Oleh: Cicit Laksamana

‘Mak cik nak buah epal?”, seorang kanak-kanak yang berusia lingkungan 10 tahun menegur wanita separuh umur di Pasar Manir.

Kebetulan wanita tersebut datang ke pasar berkenaan untuk membeli keperluan rumah. Sebaik saja wanita berkenaan berhenti di depannya, kanak-kanak itu melemparkan senyuman lalu menghulur satu beg plastik kecil.

“Di dalam beg ini ada buah epal, makcik,” katanya dengan wajah yang manis dan senyuman yang masih tidak lekang dari wajahnya.

Sambil mengucapkan terima kasih, wanita separuh umur tadi mencapai beg berkenaan dan berlalu pergi untuk membeli beberapa keperluan lagi.

Sampai di rumah, wanita berkenaan membuka beg kecil tadi untuk melihat kandungannya.

Setelah diperiksa dia mendapati selain sebiji epal yang dikatakan kanak-kanak tadi, terdapat juga beberapa barangan lain yang tidak ‘diundang’ di dalam beg kecil tersebut.

Di dalam beg yang dihulurkan kanak-kanak tadi juga terdapat sekeping kertas bercetak manifesto Pas dengan janji-janji palsunya dan senaskhah akhbar mengandungi berita-berita yang mengutuk serta mencaci kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Begitulah cara Pas memancing undi masyarakat negeri ini supaya menyokong mereka dan memilih calon-calon parti itu pada pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Taktik menggunakan kanak-kanak seumpama itu telah lama diamalkan oleh Pas bagi menarik perhatian dan meraih simpati orang ramai, khususnya setiap kali menjelang pilihan raya.

Bukan saja kanak-kanak, tetapi pelajar institusi pengajian tinggi juga turut digunakan sesuka hati mereka bagi menyebar risalah parti Pas dan Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, pihak pembangkang yang tidak berhati perut itu turut menggunakan kanak-kanak untuk menyertai demonstrasi yang diadakan di seluruh negara bagi menarik perhatian orang ramai.

Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku kerana ia menjejaskan tumpuan kanak-kanak dan para pelajar yang sepatutnya memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.

Pemimpin Pas sanggup mengheret kanak-kanak dan pelajar ke kancah politik bagi memastikan propaganda dan kempen mereka sampai kepada rakyat.

Lebih dahsyat lagi kanak-kanak di awal usia telah diajar untuk membenci dan mencaci pemimpin kerajaan. Kanak-kanak di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dihasut supaya membenci pemimpin Umno dan BN dengan gelaran bapa kafir dan ‘taghut’.

Inikah ajaran yang dianuti oleh pemimpin dan pengikut Pas yang sering mendakwa memperjuangkan Islam?

Benarkah tindakan pemimpin Pas menyemai bibit-bibit kebencian sesama saudara seagama di kalangan kanak-kanak yang masih belum mampu memikir mana yang baik mana yang buruk itu?

Inilah antara fakta-fakta yang perlu dihalusi masyarakat kita sebelum membuat pilihan antara Pas atau BN yang mengutamakan kepentingan rakyat dalam perjuangan mereka.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pemimpin BN menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan nasib mereka, sama ada masih menjadi pilihan rakyat atau sebaliknya.