Halaman

10 April 2013

Tiga program perkukuh institusi keluarga

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan keluarga Terengganu (YPK) bakal memperkenalkan tiga program baru berkonsepkan kekeluargaan yang melibatkan peruntukan RM2 juta dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang dalam setiap aspek kehidupan menerusi pengukuhan institusi keluarga, bermula Mei ini.

Pengarahnya, Encik Shafaruddin Mustafa berkata, program pertama, Program Keluarga Baru Cemerlang dilaksanakan dalam bentuk kursus sepanjang dua hari satu malam secara berperingkat-peringkat di Setiap Dewan Undangan negeri (DUN) dengan penglibatan 2,000 pasangan suami-isteri.

“Program itu bertujuan memastikan pasangan suami-isteri berupaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman masing-masing mengenai peranan hidup berkeluarga dan mampu membina institusi keluarga yang lebih kukuh.

“Peserta yang terpilih nanti mengutamakan golongan yang usia perkahwinan bawah tiga tahun supaya kursus di tahun-tahun awal perkahwinan mampu mengukuhkan lagi ikatan dan hubungan, selain pasangan baru berkahwin mudah dibentuk berbanding yang sudah lama,” katanya.

Katanya, program kedua, Dialog Keluarga pula melibatkan lima keluarga di setiap Parlimen dengan perbelanjaan kira-kira RM30,000 yang memfokuskan kepada usaha mengatasi masalah pelajar yang terbabit dengan gejala sosial di sekolah masing-masing.

Menurutnya, program yang mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu memnumpukan kira-kira 400 pelajar bersama ibu bapa masing-masing.

 “Mereka akan menjalani sesi motivasi dan kaunseling untuk menyelesaikan punca penglibatan dengan masalah sosial.

 “Kita menjalinkan kerjasama dengan komuniti dan pihak berkaitan untuk mengenalpasti punca masalah itu dan disusuli dengan guru kaunselor akan bersemuka dengan ibu bapa di rumah pelajar terbabit bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Sementara program ketiga, Seminar Kekeluargaan pula bakal dilaksanakan secara besar-besaran melibatkan beberapa siri di seluruh negeri yang akan menampilkan pakar motivasi tersohor dan berpengalaman dalam aspek kekeluargaan.