Halaman

11 April 2013

Jangan ulangi kesilapan lalu

Oleh; Esah Abdullah

Lima tahun kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Bukit Tunggal berada di tangan parti pembangkang, dalam tempoh itu juga pemimpin Barisan Nasional (BN) menanggung kerja-kerja menjaga kebajikan rakyat yang diabaikan wakil rakyat Pas.

 “Kita sentiasa bersikap ‘lembut hati’ dan tidak pernah berkira soal parti, bantuan tetap dihulurkan mengikut kelayakan,” kata Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Sedangkan pemimpin pembangkang katanya, hanya minat berceramah dan menabur fitnah dimerata tempat tanpa mempedulikan derita rakyat yang menagih simpati.

“Saya harap masyarakat dalam DUN Bukit Tunggal tidak mengulangi kesilapan lalu (PRU12), jangan memberi undi kepada pemimpin Pas yang bertopengkan agama semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat,” katanya.

Menurut haji Ismail, kini jentera Wanita, Pemuda dan Puteri telah perhebatkan kempan bagi menentukan kemenangan parti termasuk mengadakan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung serta membuat kunjungan rumah ke rumah.

Namun katanya, pergerakan ini sudah lama berjalan namun ia ditingkatkan bila sudah hampir berada di garisan penamat.

 “Saf kepimpinan BN juga turun padang mengunjungi pengundi atas pagar, saya yakin mereka sudah ‘berpisah’ dan tidak lagi sebantal dengan pembangkang serta berjanji untuk bersama BN yang banyak membantu menyelesaikan masalah mereka dan keluarga,” katanya.

Katanya, mereka telah sedar serta mengakui termakan dengan cerita buruk tentang pemimpin BN namun hakikat sebenarnya kerajaan yang ada sekaranglah banyak membantu menyelesaikan masalah mereka bila ditimpa musibah.