“Hanya tuan dan puan yang dapat menentukan Barisan Nasional (BN) terus menerajui negara pada masa akan datang,” kata Haji Khazan Che Mat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda dan Puteri DUN di Dataran Bestari Batu Rakit.
Beliau yang juga Ahli Exco Kerajaan negeri mengingatkan semua jentera parti perlu bekerja keras bagi memastikan kesinambungan agenda kerajaan membela rakyat mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
Katanya, buatlah pilihan yang tepat demi memastikan masa depan generasi muda terus gemilang bersama sebuah kerajaan yang stabil dan telus.
“Kita mengharapkan sebuah kerajaan yang kukuh dari segi ekonomi dan keamanan sentiasa terjamin dan hanya BN yang mampu menyediakan semua itu,” katanya.
Katanya, letakkan kepentingan parti melebihi kepentingan calon, kerana calon boleh datang dan pergi tetapi kehilangan kuasa BN mengakibatkan kehilangan kuasa orang Melayu.
“Satu undi menjadi penentu jatuh bangun sebuah negara, jadi jangan kerana guruh dilangit air ditempayan dicurahkan, jangan kerana janji manis pembangkang kita nafikan nikmat yang sedang melingkari kehidupan hari ini,” katanya.