Halaman

11 April 2013

Perjuangan parti lebih utama dari peribadi

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pihak perlu meletakkan perjuangan parti mendahului kepentingan diri sendiri dan kekal membantu jentera parti walaupun tidak terpilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri, Puan Nordiana Shafei.

“Apabila meletakkan kepentingan parti paling utama, kita pastinya redha, seterusnya akur dan patuh dengan keputusan yang sudah dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Tanpa menafikan ketentuan Allah s.w.t itu, kita sebagai pemimpin dan ahli parti yang setia harus terus turun padang dan menjalankan tugas seperti biasa bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dan Umno terus kekal memerintah di negeri dan negara kita,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Nordiana berkata demikian sebagai mengulas ingatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak supaya pemimpin dan ahli parti komponen BN mengenepikan rasa kecewa jika pembahagian kerusi dan pemilihan calon PRU13 tidak memuaskan hati masing-masing.

Pengerusi BN berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada Pengerusi BN negeri dan kawasan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, matlamat utama yang harus dicapai semua pemimpin dan ahli parti adalah memastikan BN kekal menerajui kepimpinan dan membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dengan majoriti dua pertiga.

 Malah, beliau berkata sebagai umat Islam, setiap individu perlu redha dengan ketentuan Allah dan tidak sesekali mengkhianati sesama bangsa dan agama akibat kecewa mahupun tidak berpuas hati dengan apa yang dihajati itu nanti.

“Insya-Allah walau siapa pun calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan Puteri akan akur dan memastikan jentera bekerja habis-habisan supaya calon itu mampu menang dengan majoriti selesa.

“Calon yang terpilih nanti sudah tentu individu terbaik dalam pertimbangan dan penilaian pucuk pimpinan,” katanya.

Puan Nordiana berkata, Puteri akan memastikan jenteranya berjalan lancar dan berusaha meyakini pengundi muda supaya memilih BN dan Umno sebagai parti yang relevan demi meneruskan kesinambungan masa depan yang lebih gemilang.