Halaman

13 April 2013

Pakatan Pembangkang makan gu


Oleh: Mohammad Ishak

ISU video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti PAS  menarik perhatian rakyat negara ini kerana ia tiba-tiba muncul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.

Kes berkenaan yang kini dalam tindakan Polis Bukit Aman mengejutkan banyak pihak kerana ia membabitkan individu yang menjadi pemimpin kanan dalam sebuah parti yang mendakwa perjuangan Islam.

Biar pun pucuk pimpinan PAS cuba menafikan perilaku individu terbabit tetapi umum mempercayai ketulenan rakam video terbabit yang sememangnya jelas dan memaparkan imej pemimpin yang dikenali ahli parti berkenaan.

Isu penyebaran VCD itu yang didakwa bermula di daerah Besut kini sedang mendapat perhatian seluruh rakyat negeri ini untuk mengetahui siapa dalang yang menerbit, merakam dan mengedar video terlaris itu.

Bagaimanapun, dua suspek yang ditahan polis dalam kes mengedar VCD itu di Kampung Alur Lintang, dekat Jertih, adalah dipercayai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika benar ia dilakukan oleh dua suspek itu dari PKR amat jelas  sekali sekali perbuatan itu dianggap “makan gu” kerana ingin membunuh karier seorang pemimpin dari sebuah parti rakan kongsi dalam Pakatan Pembangkang (PP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah menerima laporan berhubung dua individu terbabit dan kertas siasatan dibuka atas dakwaan mengedar dan memiliki video lucah.

Bagaimanapun, bagi Presiden PAS,Dato’ Seri Hadi Awang melihat isu video lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai bukan isu besar.

“Perbuatan memfitnah seperti itu bukan budaya orang Islam dan ditegah oleh agama,” katanya.