Halaman

07 April 2013

Waspada dengan muslihat pembangkang

Oleh; Esah Abdullah

Jentera wanita Jalinan Rakyat (JR) yang berada di setiap peti undi perlu berhati-hati dengan muslihat parti pembangkang yang menyusup masuk ke kampung-kampung membawa cerita keburukan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Puan Hajah Wan Maznah Wan Nong berkata, mereka guna pelbagai helah semata-mata untuk mendekati pengundi di peringkat kampung bagi meraih simpati.

“Ada yang cuba berselindungan disebalik peralatan pemeriksaan kesihatan semata-mata untuk mendekati golongan warga emas,” katanya.

Beliau meminta penduduk kampung tidak terpengaruh walau pun diberi buah tangan termasuk gula, gandum dan minyak masak.

“Setakat ini, kita belum menerima kes-kes yang besar membabitkan golongan muslimah mereka menganggu pengundi warga emas tapi mengingatkan JR sentiasa pantau keadaan di kampung masing-masing,” katanya.

Menurut Puan Hajah Wan Maznah, 10 orang JR ditugaskan disetiap kampung di seluruh negeri bagi memantau dan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.

Setakat ini beliau berpuas hati dan yakin peranan JR di peringkat akar umbi begitu berkesan dan mampu menyumbang kepada kejayaan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.