Barisan Nasional (BN) tidak pernah lupa kepada golongan belia. Dalam pembentangan 17 perkara utama aku janji turut memberi tumpuan kepada golongan belia supaya bakal peneraju negara di masa depan itu tidak dipinggirkan.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, platform yang sesuai akan disediakan untuk golongan belia bagi menunjukkan bakat serta pemikiran mereka bagi menyuarakan kemahuan dan hasrat.
"Golongan belia mewakili dua pertiga daripada jumlah penduduk negara dan suara mereka tidak boleh diketepikan dan dipinggirkan.
"Kita akan terus menyediakan platform untuk belia menunjukkan bakat dan pemikiran mereka, menyuarakan kemahuan dan cita-cita mereka, memenuhi hasrat dan aspirasi mereka dan mencipta Jaguh Wilayah dan Global," katanya dalam Majlis Pelancaran Manifesto PRU13 BN di Stadium Putra Bukit Jalil yang turut dibanjiri lebih 50,000 ahli dan kepimpinan BN, malam tadi.
Perdana Menteri menerusi manifesto yang membawa tema ' Menepati Janji Membawa Harapan' itu menyenaraikan aku janji yang ke-11 (Memenuhi Aspirasi Belia) dengan membuka ruang yang luas bagi mereka yang berminat menerokai bidang usaha niaga komersial dengan memperuntukkan tabung latihan dan insentif ke arah melahirkan belia berjaya.
Untuk golongan muda khususnya orang bujang, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini RM250 kini dinaikkan sehingga RM600, selain menambah BR1M untuk isi rumah dari RM500 sehingga RM1,200 bagi tempoh lima tahun akan datang.
Malah, sebanyak 3.3 juta pekerjaan ditawarkan kepada golongan muda menerusi pelbagai peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk dua juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi untuk tempoh lima tahun.
Peluang pekerjaan baru itu sejajar dengan sasaran menarik pelaburan berjumlah RM1.3 trilion. Ketika ini, RM50 juta diperuntukkan kepada golongan muda supaya memanfaatkan Yayasan Usahawan Baru (NEF) untuk inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Selain itu, BN juga berjanji mewujudkan ruang komersial di dalam kompleks beli-belah selama sehari pada setiap bulan untuk golongan belia mempamerkan dan memasarkan produk kreatif dan perkhidmatan mereka.
Untuk belia juga, BN bakal mewujudkan inkubator bagi memupuk kualiti kepimpinan dan kreativiti, melahirkan belia yang lebih berdaya tahan menerusi aktiviti kesukarelawan dalam 1M4U dan lebih banyak lokasi WiFi percuma disediakan dengan menumpukan kepada kawasan luar bandar dan separa bandar.
Kecemerlangan atlet sukan negara juga akan diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa, di samping mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.
Ia selari dengan persiapan bakal atlet sukan bertanding di peringkat global dengan peruntukan sedia ada RM50 juta.
Pada masa ya ng sama, kajian semula juga akan dilaksanakan terhadap undang-undang berkaitan hiburan untuk promosi seni persembahan dan kebudayaan.
Selain itu, sebanyak RM200 juta tabung tindakan strategik untuk golongan muda (SAY 1Malaysia) bagi menyediakan latihan kemahiran belia terpinggir, selain RM200 juta lagi mengisi Tabung Modal Mycreative bagi mengumpul idea dan inovasi baru golongan muda.
Tabung Modal Dre1M sebanyak RM130 juta juga dijanjikan Kerajaan BN bagi menjana aktiviti kesukarelawan di kalangan belia negara.
Di sini, membuktikan Manifesto BN pada PRU13 menjanjikan kesinambungan agenda transformasi negara berdasarkan perancangan jangka panjang untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan seluruh lapisan rakyat termasuk belia.
Ia juga akan menjanjikan kesinambungan konsep 1Malaysia dengan amalan perkongsian kuasa antara semua kaum serta mengutamakan perpaduan sebagai asas memajukan dan membangunkan negara.
Ini kali pertama BN melancarkan manifesto sebelum hari penamaan calon yang bertujuan untuk menyediakan lebih banyak ruang masa kepada rakyat meneliti dan mengkaji janji BN.
Sebelum ini pakatan pembangkang membentangkan manifesto mengandungi pelbagai janji untuk meraih sokongan pengundi sebagai mengulangi kegagalan dan retorik janji Pakatan Rakyat yang lalu.
Untuk rekod, Parlimen dibubar Rabu lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini untuk menentukan hari penamaan calon dan pengundian.
Susulan itu, sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan parti bertanding.
Jumlah DUN itu tidak termasuk 71 kerusi di Sarawak yang sudah mengadakan pilihan raya negeri pada April 2011.