Halaman

10 April 2013

Pengumuman calon BN dijangka hari ini


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka mengumumkan senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam satu taklimat tertutup yang dinamakan 'Perjumpaan Bersama YAB Pengerusi BN' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Menurut sumber, pengumuman senarai calon itu bakal memecahkan tradisi BN yang selama ini menyaksikan senarai calon diumumkan dua hari sebelum, atau dua hari selepas tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, taklimat itu akan dihadiri oleh kira-kira 2,000 pemimpin terdiri daripada ketua, timbalan ketua, naib ketua dan tiga ketua sayap bahagian komponen BN di seluruh negara serta para penyandang kerusi Parlimen parti itu.

"Dalam perjumpaan Najib dengan kumpulan G6 ini, beliau dijangka turut mengumumkan senarai calon BN kerana melalui pengumuman awal ini, barisan pimpinan boleh melihat reaksi calon terpilih, calon diketepikan serta reaksi ketua-ketua bahagian semua komponen.

"Ini bagi memperkemaskan jentera parti serta memuaskan hati pimpinan serta ahli di peringkat akar umbi yang tertunggu-tunggu senarai calon yang diluluskan Najib selaku Pengerusi BN," katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib baru-baru ini menjelaskan pengumuman calon BN pada kali ini akan dibuat awal daripada biasa bagi mendapatkan maklum balas pemimpin terlibat mengenai pencalonan mereka.

Selain itu, kata beliau, pengumuman awal berkenaan juga membolehkan pimpinan BN melihat reaksi para penyokong di kawasan Parlimen masing-masing, seterusnya memberi ruang pimpinan BN membuat perubahan jika calon terpilih tidak diterima di sesuatu kawasan.