Halaman

13 April 2013

Terima calon dengan hati terbuka

Oleh; Esah Abdullah

 “Saya mengharapkan kira-kira 26,000 ahli Umno dan 4,000 ahli komponen Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu menerima siapa saja calon yang dipilih presiden parti dengan hati terbuka.

“Apabila sampai saat dan ketikanya, presiden parti akan membuat keputusan siapa calon paling sesuai untuk berkhidmat kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh,

Katanya, BN menyenaraikan calon bukan sahaja mengikut kehendak parti tetapi turut mengambil kira kehendak rakyat.

Menurutnya sebagai ketua beliau telah menyenarai nama-nama calon seperti yang dikehendaki pucuk pimpinan dan berharap calon yang terpilih itu adalah wakil parti dan bekerja keras untuk Parlimen Kuala Terengganu.

 “Kreteria calon bukan hanya berdasarkan kehendak parti tetapi rakyat juga. Jika ada pihak menyatakan bahagian tidak dirundingi, itu adalah tidak betul cuma keputusan akan ditentukan presiden parti (Perdana Menteri),” katanya.

Namun begitu, beliau enggan mengulas kemungkinan akan menjadi calon atau tidak, kerana keputusan terletak di tangan presiden parti.

 “Saya pernah dicalonkan dan pernah juga tidak dicalonkan, apa pun keputusannya saya menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Katanya, siapa calon tidak penting tetapi kemenangan parti menjadi agenda utama BN bagi mempertahankan maruah bangsa serta mengekalkan ketuanan Melayu.