Halaman

12 April 2013

Pengaruh Pas makin hilang

Oleh: Aida Abd Rahman

Angin perubahan yang mula meresapi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sejak beberapa tahun lalu memberi petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Pegawai Pembanguan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

“Kesedaran orang muda terutamanya, terhadap Umno dan BN yang terbukti mampu dan sudah banyak memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara semakin baik.

“Semakin ramai penyokong Pas sudah mula sedar dan perlahan-lahan meninggalkan parti itu apabila mereka mula menghadiri majlis anjuran BN dan juga Umno. Jadi mesej itu amat jelas kepada BN untuk kembali merampas DUN ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Seramai 25,274 pengundi berdaftar sehingga suku keempat tahun lalu kini tiada pilihan lain lagi melainkan memastikan DUN itu kembali kepada BN sebagai memastikan kesinambungan kestabilan politik antara DUN, negeri dan juga Pusat.

 “Jika majoriti hampir 7,000 isi rumah yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 termasuk suami dan isteri masing-masing yang melibatkan jumlah kira-kira 14,000 orang tahu erti bersyukur.Majoriti mereka inilah bakal merubah dan memberi kemenangan kepada BN pada PRU13 nanti,” katanya.

Beliau berkata, BR1M membuktikan dasar kerajaan yang telus dan adil, malah usaha untuk meneruskan bantuan itu pada tahun akan datang seharusnya membuka mata rakyat untuk menolak pembangkang yang hanya pandai berjanji dan retorik.

Bukan sekadar menyampaikan bantuan daripada kerajaan negeri dan Pusat kepada penduduk terlibat, Haji Wan Mahyuddin berkata, dia turut meneruskan kegiatan rutin memasuki kawasan kubu kuat Pas bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sepatutnya, tanpa ianya dipolitikkan.

 “Kadangkala saya tidak terlepas daripada menerima cemuhan walaupun niat saya ikhlas membantu mereka. Namun saya sudah lali dengan situasi itu. Itu amanah kepada saya dan saya akan laksanakan sebaik mungkin.

 “Mungkin mereka (puak Pas) berhati batu dan `keras keng’ sehingga kita datang membantu pun, golongan itu masih menganggap kita seumpama `membawa bom’ untuk menghancurkan mereka pula,” katanya.

 Beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di DUN itu walaupun terpaksa berdepan dengan golongan yang sentiasa memandang negatif terhadap setiap usaha baik itu.