Halaman

08 April 2013

Hotel Wakaf bakal beroperasi 15 April

Oleh: Suriati Ali

Kewujudan Hotel Wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dijangka dapat menampung permintaan terdesak pelancong sempena Tahun Melawat Terenganu (TMT) 2013.

 Hotel setinggi tujuh tingkat dan bakal beroperasi pada 15 April ini menyediakan kemudahan 180 bilik penginapan, termasuk dua bilik asrama dan enam bilik super eksekutif.

 Kemudahan lain yang disediakan hotel bernilai RM41.7 juta itu, ruangan pejabat, dewan seminar, kolam renang, surau dan restoran.

Dibangunkan di tengah pusat bandar raya Kuala Terengganu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan selain memajukan indusri pelancongan.

 Ketua Pegawai Esekutif Maidam, Dato’ Haji Rozali Salleh berkata dengan siapnya hotel yang bakal diuruskan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) semestinya dapat menyempurnakan hasrat pewakaf disamping membantu Terengganu dalam industri pelancongan.

 “Bilangan hotel di Terengganu masih tidak mencukupi kerana bilangan pelancong ke negeri ini semakin bertambah terutama apabila tiba musim cuti sekolah, penganjuran aktiviti atau program bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

“Pihak kami yakin, dengan wujudnya hotel ini, ia turut menjadi pemangkin dalam menjana peluang pekerjaan dikalangan anak golongan asnaf dan penduduk tempatan di Terengganu,” kataya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hotel Wakaf, di Jalan Masid Abidin, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan & Kewangan) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hajah Hasnah Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Haji Anan Mohd dan Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Prof Datuk Dr Amer Hamzah Mohd.

Dato’ Haji Rozali turut memberitahu pihaknya turut mewujudkan projek wakaf bersifat kemudahan sosial seperti pembinaan komplek asrama anak yatim, hentian maidam dan pusat kulinari dan beberpa permis perniagaan.