Membina keyakinan diri, meluaskan pengetahuan serta memantapkan kemahiran berkomunikasi antara objektif utama Pertandingan Debat dan PIdato Politeknik Malaysia yang berlangsung selama empat hari di Terengganu.
Pertandingan julung kali diadakan dan Terengganu terpilih menjadi tuan rumah disertai 24 buah politeknik seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Puan Hajah Radiah Che Su berkata, pertandingan debat dan pidato ini mampu melahirkan golongan pelajar yang berani berhujah serta menguasai elemen kemahiran berkomunikasi.
“Program sebegini juga mampu memupuk semangat patriotisme terutama berkaitan perpaduan dan intergrasi nasional serta mempertahankan perpaduan antara kaum di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Perasmian Pertandingan Debat Perdana dan Pidato Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Hotel Permai Kuala Terengganu semalam.
Selain itu program ini mampu menjana daya saing secara positif dan mematangkan pemikiran di kalangan peserta yang terlibat.
“Saya harap agenda perkongsian bijak ini akan berterusan dari semasa ke semasa dalam usaha memelihara dan memperkukuhkan perpaduan kaum sentiasa dikongsi bersama dengan agensi lain,” katanya.
Dalam pada itu peserta mewakili Politeknik Mukah Sarawak muncul Johan dan Politeknik Sandakan Sabah mendapat naib Johan dalam debat manakala Adik Rohani Suardi daripada Politeknik Premier Engku Omar johan pidato.