Halaman

13 April 2013

Mustafa tidak nafi video seks

Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali tidak menafi apa lagi mengakui mengenai isu penyebaran video seks membabitkan seorang lelaki yang dikatakan mirip beliau.

Beliau turut enggan mengulas sama ada individu dalam video itu seorang pemimpin pembangkang dari Pantai Timur yang tersebar luas di beberapa laman sosial internet sejak kelmarin.

Katanya, beliau menyerahkan kepada peguamnya berhubung perkara itu. “Sudah... sudah, saya dah bagi tahu tak nak cakap apa-apa. Saya dah serah kepada peguam, itu saja.

 “Not worth commenting (Tidak berbaloi kalau saya bagi komen),” katanya lalu masuk ke dalam kenderaan sebelum beredar. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Markas Pemuda Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka di sini malam tadi.

Terdahulu semasa ucapannya, Mustafa turut menafikan beliau akan meletak jawatan dalam parti Pas. “Ada pula antara blog-blog yang kata saya letak jawatan sebagai Setiausaha Agung (Pas) kerana isu video ini.

“Saya hidup lagi ni, (masih) Setiausaha Agung Pas lagi,” ujarnya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, Pas tidak akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu penyebaran video seks membabitkan seorang lelaki mirip pemimpin parti pembangkang kerana menganggap ia sebagai fitnah.

Abdul Hadi berkata, beliau tidak mengambil serius dan tidak percaya dengan isu tersebut kerana yakin ia sengaja dilakukan pihak tertentu untuk menjatuhkan pemimpin terbabit.

“Pas tak perlu bermesyuarat untuk bincang isu ini. Lebih baik kita guna masa untuk buat banyak lagi benda lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rusila semalam.