Halaman

08 April 2013

Kunjungan hormat kukuh hubungan Terengganu-Itali

Oleh: Aida Abd Rahman

Duta Besar Itali ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mario Sammartino dan isteri, Puan Federica Modena Sammarti mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar, di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini.

Pertemuan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dengan rombongan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menyentuh mengenai pelbagai kemajuan dan pembangunan antara kedua-dua negeri khususnya dalam sektor perindustrian, pelancongan dan pendidikan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Sejurus pertemuan itu, duta besar berkenaan yang tiba di negeri ini jam 3.30 petang semalam dan menginap di Hotel Primula Becah Resort, Kuala Terengganu dijadualkan mengunjungi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Badariah.



Pertemuan dua hala antara Terengganu-Itali itu dilihat mampu mengukuhkan hubungan silaturahim antara dua pihak, sekaligus meninjau kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang boleh memberi manfaat bersama di masa depan.

Kedua-dua pihak saling bertukar cendera hati kenang-kenangan sebelum mengakhiri pertemuan penuh bermakna itu.
Rombongan dijangka bertolak ke Kuala Lumpur jam 4 petang ini.