Halaman

10 April 2013

Insentif untuk pasangan muda bukti BN peka

Oleh: Aida Abd Rahman

Wang bantuan RM1,000 kepada pasangan muda yang pertama kali berkahwin dan RM500 kepada pasangan menimang cahaya mata pertama yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negeri ini mencerminkan keprihatinan pemimpin untuk meringankan bebanan golongan yang kurang berkemampuan. 

Seorang remaja, Norhamizah Jusoh, 22, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, berkata insentif yang tidak disangka itu, mampu memberi galakan kepada pasangan muda supaya menamatkan zaman solo di jalan yang diredhai Allah.

“Sudahlah pelbagai bantuan lain disediakan kerajaan negeri dan Pusat sebelum ini, sperti dana raya dan juga Bantuan Rakyat 1Malaysia, insentif tambahan khas kepada pasangan baru berkahwin itu membuktikan kerajaan membela nasib rakyat dari segenap aspek.

 “Inilah kerajaan yang benar-benar menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan bukan sekadar menguar-uarkan dalam manifesto tetapi gagal melaksanakannnya sebaik mendapat mandat mentadbir seperti yang sudah dilakukan pembangkang,” katanya.

Seorang peniaga, Nor Fazlina Zakaria, 30, pula melihat tawaran kerajaan itu amat rasional pada masanya memandangkan taraf sosio ekonomi yang semakin meningkat dan memerlukan perbelanjaan lebih tinggi khususnya untuk pembiayaan perubatan dan pelajaran.

“Bantuan sedemikian dapat menampung perbelanjaan dan meringankan bebanan golongan yang berpendapatan rendah dan keluarga yang susah.

“Malah, saya juga berharap ia mampu menjadi insentif tahunan untuk rakyat supaya manfaatnya  dapat dirasai secara berterusan di bawah kerajaan yang peka dan bertanggungjawab ini,” katanya.

Insentif itu antara kandungan manifesto tambahan BN Terengganu yang akan diumumkan Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.