Jangan termakan janji yang ditabur pemimpin Pas yang hanya kelihatan manis diluaran tetapi hakikat sebenarnya ia racun yang telah memusnahkan ikatan perpaduan dalam masyarakat.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Noh berkata, sudah banyak bukti angkara Pas, masyarakat berpecah belah dan jiran tidak bertegur sapa.
“Malah ada suami sanggup memberi talak kepada isteri dan abang tidak mengaku adik dan menularnya sikap pelik ini datangnya dari ketaksuban terhadap pemimpin pembangkang,” katanya.
Sehubungan itu katanya, masyarakat jangan tertipu lagi kerana apa yang dicanangkan pemimpin pembangkang itu tidak lebih daripada usaha membeli undi.
Katanya, mereka tidak pernah bersedia untuk perhambakan diri membantu rakyat yang susah tetapi mengejar cita-cita peribadi untuk menjadi ‘yang berhormat’.
Tambahnya, rakyat perlu bersyukur dengan limpahan nikmat yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mencurahkan pelbagai bantuan bermula dari dalam perut ibu hingga ke liang lahat.
“Bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan rakyat mendapatkan kehidupan yang selesa,” katanya.
Beliau kemudiannya mengajak semua rakyat beri undi kepada BN dalam pilihan raya nanti serta sokong siapa saja calon yang dipilih pucuk pimpinan parti untuk memberi khidmat kepada rakyat.