Halaman

03 April 2013

Usah fikir panjang lagi...undi BN

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato' Seri Mohd Najib ketika mengumumkan pembubaran Parlimen.
Debaran banyak pihak, terutama mereka yang berangan-angan untuk menjadi calon atau ‘tok wakil’ makin kencang bila Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

Dengan pengumuman itu, bermakna selesai sudah fasa pertama bagi pilihan raya umum kali ini iaitu pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengikut kebiasaannya, proses pengundian akan diadakan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam bulan ini juga.

Selepas ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, diikuti dengan tarikh mengundi bagi memilih calon-calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Bagi orang biasa, debaran menunggu pengumuman pembubaran Parlimen telah pun berakhir, mereka hanya perlu tunggu siapa yang akan dipilih sebagai calon dan seterusnya mengundi pada hari yang telah ditetapkan.

Biarlah mereka yang berangan-angan menjadi calon terus berdebar sama ada nama mereka ‘naik’ atau sebaliknya sebagai calon pada pilihan raya ini.

Dato'Seri Haji Ahmad Said
Buat masa ini, rakyat biasa yang layak mengundi hanya perlu membulatkan tekad mereka untuk memilih calon-calon yang mampu membela nasib mereka di masa depan.

Mereka perlu membuat penilaian secara wajar, tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang sentiasa meniupkan api kebencian rakyat kepada Kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Mereka perlu membebaskan minda daripada diracuni janji-janji palsu pihak pembangkang yang langsung tidak masuk akal.

Pengundi perlu memikirkan secara mendalam pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang selalu diingatkan pada majlis-majlis beliau, iaitu “berkasih pada yang sayang dan meminta pada yang ada”.

Beliau mengingatkan rakyat Terengganu supaya bermanja dan meminta bantuan kepada Kerajaan BN yang sentiasa mengambil berat dan cakna nasib mereka.

Jadi, usah lagi berfikir panjang, tekadkan hati untuk memilih calon-calon BN yang terbukti membela rakyat selama ini.

Biar bakal-bakal ‘tok wakil’ terus berdebar, tetapi rakyat Terengganu tekad pilih BN kini, dulu dan selama-lamanya....