Halaman

31 March 2013

Kerajaan BN Kotakan janji

Oleh: Noraini Jusoh


Sebagai sebuah kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sentiasa menjaga kebajikan dan mengotakan janji yang dibuat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, kerajaan BN melalui program Jelajah Janji Ditepati ilham Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sentiasa memastikan setiap yang dibuat sampai kepada rakyat.

"Tidak seperti pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah mengotakannya, hal ini kita boleh lihat sendiri semasa Pas memerintah Terengganu antara 1999 hingga 2004 kerana tiada apa yang di buat untuk rakyat.

"Di Parlimen Kuala Nerus sendiri contohnya, tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat ketika itu melainkan sebuah rangka masjid yang tidak siap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia, Kenali Jiran Kita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Padang Bola Kampung Tok Jiring, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh serta Pegawai Pembangunan Dun (PPD) Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Dato’ Haji Mohd Nasir berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, pengundi di Parlimen Kuala Nerus khususnya diharap tidak tertipu dengan janji-janji manis pembangkang dan membuat pilihan yang tepat.

"Bagi memastikan BN menang pada PRU13 nanti, kita perlu bersama-sama kerja kuat termasuk pemuda dan puteri Umno untuk melenyapkan cita-cita pembangkang bertapak di Kuala Nerus,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya BN terus diberi mandat untuk memerintah Terengganu selepas PRU13 nanti, pelbagai pembangunan dan keistimewaan bakal dinikmat oleh warga Kuala Nerus.