Halaman

02 April 2013

Usahawan bumiputera perlu hargai bantuan kerajaan

Oleh: Noraini Jusoh

Usahawan bumiputera perlu berubah sikap agar berusaha lebih gigih sekiranya ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan dan menghargai setiap bantuan yang pernah kerajaan berikan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan untuk mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan agar suatu hari nanti mereka boleh berdiri sendiri.

"Terdapat banyak agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan pelbagai lagi yang memberi kemudahan pinjaman kepada usahawan.

"Dengan adanya kemudahan pinjaman ini usahawan sepatutnya lebih menghargai jasa kerajaan dengan membuat bayaran balik terhadap pinjaman yang pernah dilakukan dan tidak seharusnya lepas tangan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Forum Usahawan Terengganu sempena Program Generasi 1M Sahabat Usahawan Terengganu (Gen-1M SUT) yang dihadiri hampir 150 usahawan daerah Marang, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan di Dewan Perpustakaan Awam Marang itu, Dato’ Haji Mohamed berkata, program anjuran YPU dengan kerjasama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Umno Bahagian Marang bertujuan untuk memberi penerangan kepada usahawan di daerah tersebut mengenai peluang-peluang perniagaan khususnya dan dasar-dasar kerajaan amnya.

"Tujuan kita adakan program ini antara lainnya adalah supaya uahawan tahu apa transformasi yang dilakukan kerajaan untuk membantu mereka supaya lebih maju dalam bidang perniagaan dan berharap wujud kesedaran dalam diri mereka untuk terus memartabatkan bidang keusahawanan di kalangan bumiputera,” katanya.

Tambah beliau, program ini juga merupakan salah satu platform dalam mendekati dan memahami permasalahan yang dihadapi usahawan.