Halaman

04 April 2013

Nasib ibu tunggal akan terus terbela jika BN menang

Oleh: Noraini Jusoh


Nasib ibu tunggal akan terus terbela sekiranya rakyat Terengganu memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk terus memerintah negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, pihaknya akan peruntukan satu dana khusus kepada jabatan kehakiman untuk membela nasib golongan ibu tunggal sekiranya BN menang di Terengganu.

"Sejumlah RM100,000 hingga RM200,000 akan dijadikan sebagai waran tahunan untuk membantu ibu tunggal.

"Selain dana, peruntukan tersebut juga boleh dimanfaat untuk membantu ibu tunggal mengadakan aktiviti seperti seminar, kaunseling, aktiviti ziarah dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peyampaian Wang Dana Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.


Pada majlis tersebut, Dato’ Yahya telah menyampaikan wang dana pendahuluan nafkah berjumlah RM25,530 kepada 14 ibu tunggal bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

Seorang ibu tunggal yang ditemui, Che Wan Salinawati Che Wan Salim, 36, berkata dengan adanya wang dana pendahuluan nafkah tersebut, sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk perbelanjaan persekolahan enam orang anaknya yang berusia antara enam hingga 15 tahun.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap nasib kami dan wang ini akan saya gunakan sebaik mungkin,” katanya yang telah empat tahun berpisah dengan suami dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.